Ahad, 22 March 2020 | 9:11pm
Helmi Azman ketika Pusingan 1 ARRC, baru-baru ini.
Helmi Azman ketika Pusingan 1 ARRC, baru-baru ini.

Sepang jadi 'lubuk' Helmi

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi lokasi utama buat pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Helmi Azman meraih seberapa banyak mata dalam kelas SuperSports 600cc saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2020.

Buktinya, pelumba berusia 21 tahun itu ketika ini sudah mengumpul 29 mata pada Pusingan 1 yang berlangsung di SIC dua minggu lalu dengan litar kebanggaan negara ini menjadi tuan rumah sebanyak dua kali dalam kalendar 2020.

“Semestinya di Sepang,” kata Helmi yang menamatkan Perlumbaan 1 di tempat keempat dan ketiga di Perlumbaan 2 pada pusingan pembuka tirai 2020 itu.

“Saya akan mengambil peluang di Sepang sebab ada dua (pusingan) dan cuba mendapatkan mata maksimum di sana.”

Pusingan 2 dijadual berlangsung pada 9 dan 10 Mei ini di litar The Bend Motorsport Park, Australia namun atas sebab penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia, ia terpaksa ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Pada musim lalu yang juga tahun kedua penyertaan Helmi dalam kelas SuperSports 600cc, pelumba muda itu menamatkan saingan keseluruhan di tempat ketujuh dengan 105 mata.

Penamat terbaiknya ketika itu adalah berada di tempat kelima sebanyak empat kali iaitu di SIC dan Litar Antarabangsa Zhuhai, China.

“Pada musim kedua saya di kelas SuperSports ini, sasaran keseluruhan itu berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Saya harap dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan, ada peningkatan daripada sudut tunggangan, mental dan juga fizikal saya,” katanya yang ketika ini ketinggalan 16 mata daripada pendahulu kelas berkenaan, Azroy Hakeem Anuar (Boon Siew HONDA Racing Team) yang mengumpul 45 mata.

Berita Harian X