Jumaat, 8 Mei 2020 | 6:46pm
Pengurus pasukan Honda Yuzy Racing di Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. - NSTP/Supian Ahmad
Pengurus pasukan Honda Yuzy Racing di Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. - NSTP/Supian Ahmad

'Disiplin kunci utama kejayaan seorang pelumba'

KUALA LUMPUR: Kunci utama untuk menjadi seorang pelumba yang mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi adalah disiplin.

Itu yang dikatakan legenda pelumba dua roda negara yang juga pengurus pasukan bagi Honda Yuzy Racing di Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Katanya, disiplin akan membawa seseorang pelumba itu kepada ilmu yang bermanfaat selain membina kecergasan tinggi terutama ketika menjelang perlumbaan.

Yuzy berkata: "Bagaimana nak tahu yang kita mempunyai disiplin?. Sebagai contoh, kita adalah seorang pelumba dan perlu ada kecergasan yang baik.

"Jadi kira-kira dua minggu sebelum perlumbaan, di rumah perlu disiplinkan diri untuk melakukan latihan kecergasan, buat kayuhan berbasikal atau sebagainya.

"Itu penting untuk kita bekalkan stamina ketika minggu perlumbaan nanti. Jadi bagaimana mahu melakukan latihan fizikal, kecergasan ini?. Nampak mudah, tapi sebenarnya memerlukan disiplin tinggi.

"Jadi disiplin itulah yang akan membuatkan kita menjalankan tanggungjawab dan rutin harian supaya kita sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dan sihat.

"Bagi saya, pelumba perlu berdisiplin dalam melakukan perkara berfaedah dan untuk maju ke depan. Disiplin inilah kunci seseorang pelumba untuk pergi ke peringkat lebih jauh seperti MotoGP.

"Buatlah latihan seperti berjoging, latihan kecergasan dan sebagainya kerana apabila memasuki minggu perlumbaan, mereka akan tempuh banyak lagi halangan dan disitulah gunanya kecergasaan."

Yuzy yang berkongsi pengalaman dalam sesi soal bicara RAMP-IT Kat Trek anjuran Cub Prix Malaysia di laman Facebook turut mengingatkan pelumba muda supaya mengutamakan disiplin kerana sekiranya tidak, ia bermakna tiada minat mendalam dalam diri pelumba itu.

"Sekiranya pelumba itu tak boleh mengikut peraturan pasukan (melanggar disiplin), maknanya dia tidak berminat. Bagaimana nak timbulkan minat itu memandangkan perlumbaan ini bermain dengan kelajuan dan nyawa.

"Perlumbaan itu sesuatu yang berbahaya. Jadi sekiranya tidak berminat (tidak boleh berdisiplin), lebih baik tukar bidang lain.

"Jangan kita tak suka (bidang itu), kita buat saja. Bagi saya, fikir dengan elok dan buat (ceburi) bidang yang kita suka supaya tak melanggar disiplin diri sendiri," katanya bagi menjawab soalan berkaitan apakah yang akan dilakukan pasukan sekiranya ada pelumba gagal mengikut arahan ditetapkan pasukan.

Berita Harian X