Selasa, 12 Mei 2020 | 5:45pm
Pemandu Formula Satu (F1), Sebastian Vettel bakal meninggalkan Ferrari pada penghujung tahun ini. - Foto AFP
Pemandu Formula Satu (F1), Sebastian Vettel bakal meninggalkan Ferrari pada penghujung tahun ini. - Foto AFP

Vettel tinggalkan Ferrari hujung tahun ini

LONDON: Pemandu Formula Satu (F1), Sebastian Vettel bakal meninggalkan Ferrari pada penghujung tahun ini selepas perbincangan lanjutan kontrak antara dua pihak itu gagal menemui jalan penyelesaian terbaik.

Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto berkata, keputusan itu dibuat secara bersama dan disifatkan sebagai bukan mudah dengan mengambil kira Vettel sebagai seorang pemandu dan juga individu.

"Sudah sampai waktunya untuk kami memilih jalan berasingan bagi mencapai matlamat yang masing-masing ingini," katanya.

Vettel yang juga juara dunia empat kali berkata, tiada lagi kesepakatan buat kedua-dua pihak untuk bekerjasama.

"Dalam usaha mendapatkan keputusan terbaik mungkin dalam sukan ini, adalah amat penting buat semua pihak untuk bekerja dalam suasana harmoni.

"Masalah kewangan bukan isu dalam perbincangan ini. Itu bukan cara saya berfikir apabila ia membabitkan pilihan tertentu.

"Apa yang berlaku adalah dalam beberapa bulan ini membuatkan kami mengimbau apakah keutamaan sebenar kami.

"Saya memerlukan imiginasi dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu dalam situasi yang sudah berubah. Saya sendiri perlu mengambil masa apabila ia membabitkan masa depan saya," katanya. - AGENSI

Berita Harian X