Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:46pm
Azlan Shah Kamaruzaman. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Azlan Shah Kamaruzaman. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Azlan Shah impi miliki akademi, pasukan permotoran sendiri

KUALA LUMPUR: Juara sulung kelas ASB1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman mempunyai perancangan untuk membuka sebuah akademi sukan permotoran pada masa terdekat ini selain turut teringin menubuhkan pasukan sendiri pada satu masa nanti.

Azlan yang menjuarai kelas berkenaan tahun lalu berkata, ketika ini perancangan membuka akademi itu masih disusun atur tatkala dirinya mahu melihat sukan permotoran di Malaysia terus berkembang maju.

"InsyaAllah memang ada perancangan (akademi)," kata Azlan dalam satu sesi bersama peminat yang dikendalikan pasukannya, ONEXOX TKKR SAG Team.

"Namun tengah disusun (atur) lagi. Doakan pada masa terdekat atau akan datang ini. Saya melihat di Malaysia kita (sukan permotoran) menerima sokongan yang banyak. Seperti bola sepak, penyokong dia pun ramai dan ini sama seperti sukan permotoran juga.

"Jadi bagi saya tidak salah sekiranya dijadikan sukan ini antara sukan teras."

Karier Azlan, 35, dalam arena sukan permotoran dua roda bukan calang-calang. Pelumba dari Klang, Selangor ini pernah dinobatkan juara kelas SuperSports 600c pada tahun 2013 dan 2017 di Asia selain pernah mewakili pasukan Honda dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia (2014-2015).

Menjawab soalan mengenai detik terindahnya di peringkat dunia, Azlan berkata:"Kejohanan yang paling tidak boleh dilupakan?. Tentunya kejuaraan dunia. Sebab saya berpeluang beraksi dalam kelas Moto2.

"Detik terindah buat saya adalah di Motegi (Jepun). Ketika itu saya menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Walaupun tewas tetapi saya berpuashati dengan pencapaian saya ketika itu," katanya.

Azlan ketika itu menamatkan perlumbaan di belakang penghuni tangga ketiga, Sandro Cortese manakala saingan pusingan ke-15 berkenaan dimenangi wakil pasukan Ajo Motorsport, Johann Zarco.

Berita Harian X