Ahad, 30 Julai 2017 | 12:05am

G Shanti tunggu pengganti

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih 23 tahun berlalu, kehebatan G Shanti selaku jaguh olahraga dan ratu pecut Malaysia terutama dalam acara 100 meter (m) dan 200m masih tiada tandingan hingga hari ini.

Malah, Shanti masih memegang rekod wanita terpantas di Malaysia selepas beliau berjaya mencatatkan masa 11.50 saat (s) dalam acara olahraga 100 meter (m) di Kuala Lumpur, pada 7 Mei 1993.

Antara kunci utama kejayaan Shanti sehingga jasanya masih dikenang ialah disiplin tinggi dan kesanggupannya menghadapi pelbagai kesusahan semata-mata untuk pergi berlatih, termasuk menaiki bas mini tidak berhawa dingin dan tinggal di asrama 'ala sauna' kerana tiada kipas angin.

Namun, berkat tunjuk ajar jurulatih Harun Rashid dan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, ia bukanlah satu halangan dan masalah besar untuk Shanti terus memperbaiki pencapaiannya sehingga bergelar antara wanita terpantas di Asia Tenggara.

Rekod kebangsaan acara 100 meter wanita (11.50 saat) yang dicatatnya, kekal sehingga kini meskipun hampir dileburkan Zaidatul Husniah dengan catatan 11.45 saat, di Afrika Selatan awal tahun ini.

Catatan Zaidatul itu tidak dapat diiktiraf, namun Shanti bangga melihat bayangan penggantinya bakal berdiri megah dengan rekod yang lebih baik.

Seteru Lydia de Vega


RATU pecut Malaysia, G Shanti. - Foto NSTP

Beliau juga berkongsi pentas sama dengan ratu pecut Asia Tenggara dan pemegang rekod 100m Sukan SEA (11.28s), Lydia de Vega dari Filipina.

Sebagai atlet pecut, Shanti tidak boleh lari daripada mengalami kekecewaan terutama apabila beliau tewas kepada Lydia di pentas final acara 100m dan 200m di Sukan SEA Singapura 1993 selepas berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan, seminggu sebelum temasya dwitahun berkenaan berlangsung.

Kehampaan itu berterusan apabila Shanti ditimpa kecederaan hamstring seminggu sebelum berangkat ke Jepun untuk menyertai Sukan Asia pada 1994.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang pegawai bank dikenali sebagai R Kannan dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Ibarat rezeki anak sulungnya selepas berpantang Shanti berjaya dipujuk oleh suaminya untuk kembali berlatih dan pulang ke pangkuan skuad olahraga kebangsaan seterusnya menang pingat emas acara 100m dan 200m di Sukan SEA Jakarta 1997.


KEHEBATAN G Shanti masih tiada tandingan hingga ke hari ini. - Foto NSTP

Profil:

Nama: G Shanti

Tarikh lahir: 19 September 1967 (50 tahun)

Acara: 100m, 200m, 4x100m, 4x400m

Mula mewakili negara: 1989

Pencapaian terbaik:

* 1989: Pingat perak 4x100m Sukan Sea Kuala Lumpur

* 1990: Pingat gangsa 4x400m Sukan Asia Beijing, China

* 1991: Pingat emas acara 200m dan perak 100m Sukan Sea Manila

* 1993: Pingat gangsa 4x400m ATF, Manila

* 1993: Pingat emas 4x400m, perak (100m dan 200m) Sukan Sea Singapura

* 1997: Pingat emas 100m dan 200m Sukan Sea Jakarta. * Julai 1998: Pingat gangsa 100m dan cipta rekod kebangsaan 200m ATF Fukuoka, Jepun.


ALEX dan G Shanti dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada tahun 1998.

Berita Harian X