Selasa, 1 Ogos 2017 | 4:48pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Bukit Jalil 18 Julai lalu.- Foto Luqman Hakim Zubir
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Bukit Jalil 18 Julai lalu.- Foto Luqman Hakim Zubir

Khairul Hafiz boleh pecah rekod - Poad

KUALA LUMPUR: Jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim optimis tuah dan kelajuan akan memihak kepada jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk memecahkan rekod kebangsaan pada temasya Sukan SEA ini.

Menurutnya, The Speedy Jantan ketika ini hanya perlu memberikan tumpuan kepada latihan, terus konsisten serta tidak meletakkan diri dalam tekanan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula.

Mohd Poad turut yakin Khairul Hafiz yang begitu bertuah dan sinonim dengan Julai apabila mencipta ketiga-tiga rekod - 100m, 200m, 4x100m - pada bulan sama sejak 2016 selain dilahirkan pada bulan sama - 22 Julai 1998 - mampu lebih pantas selepas ini.

"Saya harap Khairul Hafiz tidak ada kecederaan, fokus kepada latihan, kekal dengan persembahan sedia ada serta tidak terlalu meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

"Insya-Allah jika tidak ada apa-apa halangan saya yakin dia boleh memecahkan rekod kebangsaan 100m di Sukan SEA nanti," kata Mohd Poad sambil memaklumkan Khairul Hafiz akan menyertai acara 100m, 200m dan 4x100m di KL2017.

Sementara itu ketika mengulas mengenai acara berpasukan, Mohd Poad memberi jaminan enam pelari 4x100 meter (m) lelaki tidak akan disia-siakan jika tidak berpeluang berlari di KL2017.

Tegasnya, ini kerana semua pelari berkenaan masih muda dan khidmat mereka masih diperlukan untuk temasya akan datang termasuklah Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

"Atlet yang akan berlari untuk 4x100m di Sukan SEA belum diputuskan tetapi kita sudah nampak bayangannya. Nixson (Kennedy) tidak berlari di Terbuka Vietnam bukan kerana dia tidak menyerlah tetapi kita hendak cuba Muhammad Haiqal Hanafi.

"Kita ada banyak pelari muda dan banyak lagi kejohanan akan datang. Seandainya Nixson tidak berlari di Sukan SEA, kita tidak akan biarkan begitu saja, kita akan teruskan semua pelari untuk Sukan Asia dan Komanwel," katanya.

Minggu lalu kuartet lelaki diwakili Muhammad Haiqal, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz mencatat 39.62s untuk melakar rekod kebangsaan baharu di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam 2017.

Enam pelari pecut terbaik negara yang berada dalam senarai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk 4x100m adalah Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul, Jonathan, Nixson, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Aqil Yasmin.

INFO:

Rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan

100m - 10.18s (SUKMA, Sarawak, 27 Julai 2016)

200m - 20.90 saat (Terbuka Malaysia, 18 Julai 2017)

4x100m - 39.62s (Terbuka Vietnam, 27 Julai 2017)

Rekod kebangsaan 4x100m

39.62s - Muhammad Haiqal, Jonathan, Badrul Hisyam, Khairul Hafiz (Terbuka Vietnam - 27 Julai 2017)

39.67s - Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri, Nixson (Sukan SEA Singapura 2015)

39.83s - Watson Nyambek, Nazmizan Muhamad, Azmi Ibrahim, R. Ganeshwaran (Sukan SEA Kuala Lumpur 2001)

40.06s - Hamberi Mahat, R Ganeshwaran, Tan Kok Lim, Watson Nyambek (ATF Fukuoka, Jepun 1998)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X