Isnin, 14 Ogos 2017 | 7:09pm
BEKAS ratu pecut negara, G Shanti.

Shanti harap muka baharu atasi rekod kebangsaannya

KUALA LUMPUR: Bekas ratu pecut negara, G Shanti berharap rekod kebangsaan 100 meter dan 200 meter yang dipegangnya sehingga kini dapat dipecahkan atlet olahraga pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), 19 hingga 30 Ogos ini.

Menurut anak jati Kuala Kangsar, Perak itu, rekod yang dipegangnya sudah terlalu lama dan sudah tiba masanya ia dipecahkan oleh muka baharu.

"Saya harap rekod saya dapat dipecahkan sebab ia dah lama sangat dan sekarang pun teknologi sudah semakin canggih berbanding zaman kami dahulu," katanya ketika ditemui pada majlis penerimaan tajaan Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada 12 adik-beradik itu adalah pemegang rekod kebangsaan 100 meter (11.50 saat) selama 24 tahun dan 200 meter (23.37 saat) selama 19 tahun.

Pelari pecut wanita kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli pernah mengatasi rekod Shanti dengan catatan 11.36s dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan, Mac lalu.

Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf juri pertandingan kerana Zaidatul Husniah dikatakan mendapat bantuan angin 2.5 saat, sekali gus mengekalkan Shanti sebagai pemegang rekod kebangsaan acara itu sehingga kini.

Sementara itu, Shanti turut melihat prestasi olahragawati yang akan beraksi dalam temasya sukan dwitahunan itu berada pada tahap memberangsangkan dan optimis skuad olahraga negara sudah bersedia 100 peratus, selain berharap mereka dapat mengawal emosi dengan baik ketika bertanding. - BERNAMA

Berita Harian X