Selasa, 15 Ogos 2017 | 11:03pm
S Komalam Shally. - Foto Efendy Rashid

Bapa rayu Komalam diberi peluang kedua


BAPA kepada atlet pecut wanita negara, M Selvaretnam. - Foto Efendy Rashid

IPOH: Bapa kepada atlet pecut wanita negara, M Selvaretnam masih berharap anak perempuannya, S Komalam Shally diberikan peluang beraksi di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Komalam yang disenarai dalam kuartet 4x100 meter (m) negara sebelum ini digugurkan daripada Sukan SEA berikutan masalah disiplin.

"Saya sudah melihatnya berlari sejak dia berada di darjah enam dan saya amat berbangga dengannya," kata Selvaretnam, 61.

"Sekali pun dia tidak memenangi sebarang pingat dalam acara 100m di kejohanan Olahraga Siri Super Afrika Selatan pada Mac lalu, dia berjaya memperbaiki masa peribadinya sendiri (11.72 saat).

"Saya amat berharap untuk melihatnya beraksi untuk Malaysia di KL2017 kerana dia berlatih bersungguh-sungguh untuk perkara ini sejak dua tahun lalu.

"Saya mahu meminta maaf bagi pihak Komalam dan berharap pihak yang berkenaan boleh menimbang untuk menyenaraikannya kembali ke pasukan.

"Dia tidak berhenti berlatih sekali pun pengurusan olahraga sudah memutuskan untuk menyingkirkannya daripada beraksi berikutan perselisihan faham dengan salah seorang jurulatih ketika sesi latihan," katanya sambil mengalirkan air mata.

Komalam sebelum ini memberitahu dia sudah menyerahkan surat permohonan maaf dan merayu untuk diberikan peluang beraksi.

"Saya meminta maaf atas apa yang berlaku dan saya benar-benar mahu mewakili negara pada Sukan SEA ini," kata atlet kelahiran Ipoh itu.

Atlet berusia 29 tahun itu pada awalnya diletakkan selaku pelari kedua dalam acara 200m dengan KL2017 menjadi penampilan ketiganya dalam Sukan SEA.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata keputusan itu dibuat oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan alasan yang sahih dan sudah dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung perkara berkenaan.

19 dibaca
Berita Harian X