Rabu, 16 Ogos 2017 | 2:29pm
ATLET olahraga, Khairul Hafiz Jantan (kiri) dan Badrul Hisyam Abd Manap pada sesi latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Nasional. - Foto Saifullizan Tamadi

Skuad olahraga Thailand sasar 14 emas

BANGKOK: Thailand menyasarkan 14 pingat emas bagi kontinjen olahraga pada Sukan SEA Kuala Lumpur, yang menurut negara itu sebagai 'memadai' untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam sukan itu pada temasya dwitahunan kali ini.

Di sebalik keyakinan mengekalkan gelaran juara keseluruhan dalam acara olahraga, namun pasukan itu menjangkakan saingan sengit terutama daripada negara tuan rumah Malaysia dan Indonesia bagi gelaran berprestij itu.

"Kami menetapkan sasaran sebanyak 14 pingat emas bagi pasukan olahraga kami di Sukan SEA Kuala Lumpur. Saya fikir 14 pingat emas sudah memadai bagi kami mempertahankan juara keseluruhan kami dalam sukan itu," kata Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Thailand (AAT) Mej Jen Supawanat Ariyamongkol kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Bekas raja pecut Thailand pada era 60-an dan 70-an itu berkata, pingat emas itu dijangka diraih daripada beberapa acara trek dan balapan dengan pasukannya diwakili atlet peringkat Asia.

Satu daripada pingat emas yang diyakini pasti berada dalam genggaman pasukan olahraga Thailand pada Sukan SEA Kuala Lumpur, menurut Supawanat adalah dalam acara 4x100 meter kuartet lelaki yang tradisinya dimenangi negara itu pada temasya dwitahunan itu.

"Pasukan 4x100 meter Thailand memenangi pingat perak pada Kejohanan Asia di India beberapa bulan lepas dan jelas menjadi pilihan pada Sukan SEA kali ini," katanya dan menurutnya kuartet Thailand hanya dipintas pada garisan penamat oleh pasukan Jepun.

Di sebalik prestasi baik dicatatkan pasukan 4x100 meter lelaki Malaysia diketuai Khairul Hafiz Jantan, beliau memberikan rating lebih tinggi kepada pasukan lari berganti-ganti Indonesia daripada Malaysia dalam memberikan cabaran kepada Thailand untuk pingat emas pada temasya itu.

Selain 4x100 meter lelaki, Supawant berkata pingat emas lain yang disasarkan Thailand dalam olahraga adalah daripada acara merejam lembing (lelaki dan wanita), lompat bergalah (lelaki), lempar cakera (wanita), lompat tinggi (lelaki), heptathlon, decathlon dan 110 meter lari berpagar lelaki.

Bagi 100m dan 200m lelaki, apa yang tidak dapat diramal dalam perlumbaan itu bermaksud pelari paling kurang melakukan kesilapan mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi emas dan dinobatkan sebagai pelari paling pantas di Asia Tenggara.

Beliau meramalkan jaguh pecut Thailand dan pemenang dua pingat emas dalam 100m dan 200m pada Sukan SEA Myanmar pada 2013, Jirapong Meenapra akan memberikan saingan sengit bagi pingat emas dalam kedua-dua acara.

Pasukan 80 anggota pasukan olahraga Thailand yang menggabungkan atlet senior dan junior akan berlepas ke Kuala Lumpur esok. - BERNAMA

Berita Harian X