Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:36pm
JAGUH pecut Filipina, Eric Cray. - Foto AFP

Jadual ketat bukan halangan Eric - Guevara

KUALA LUMPUR: Jadual yang ketat bukan penghalang bagi jaguh pecut Filipina, Eric Cray untuk mengekalkan mahkota 100 meter dan 400m lari berpagar pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pengurus pasukan olahraga Filipina, Sean Guevara berkata walaupun kedua-dua acara dijadual berlangsung pada hari yang sama iaitu kira-kira sejam perbezaan, atlet berdarah kacukan Filipina-Amerika itu berupaya mempamerkan pecutan emas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami sudah meminta pihak penganjur buat perubahan, tetapi mereka enggan. Saya rasa tiada masalah bagi beliau untuk berlari bagi kedua-dua acara pada hari yang sama, kerana dia mempunyai tenaga dan stamina untuk melakukannya.

"Dia akan terbang dari Texas, Amerika Syarikat selepas selesai jalani latihan dengan jurulatihnya di sana," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan olahraga KL2017 di sini, hari ini.

Pada Selasa, Eric akan menyertai acara 110m berpagar pada 3.30 petang, diikuti acara kegemarannya 400m berpagar pada 4 petang, manakala final 400m berpagar dan 110m akan diadakan pada 8.20 malam dan 9.40 malam.

Guevara berkata, Eric yang menyertai Kejohanan Olahraga Dunia 2017 di London dalam acara 400m berpagar, juga tersenarai bagi acara 4x100m dan 4x400m lari berganti-ganti.

Juara Asia acara 400m berpagar itu turut meraih dua pingat emas pada edisi di Singapura dua tahun lalu, selepas memecah rekod baharu 49.40s dalam acara 400m berpagar dan melakar catatan peribadi terbaik 10.25s dalam acara riben biru 100m.

Dengan peluang yang cerah untuk mengekalkan emas 400m berpagar, pelari pecut berusia 28 tahun itu yang melakar catatan terbaik musim ini 10.27s, dijangka dicabar pelari Malaysia, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan terbaiknya 10.18s dan jaguh edisi 2013, atlet Thailand, Jirapong Meenapra (10.31s) dalam acara pecut.

Guevara berkata tuan rumah edisi Sukan SEA 2019 itu menyasarkan lebih lima pingat emas bagi acara trek dan padang, yang dijadual bermula 22-26 Ogos. - BERNAMA

Berita Harian X