Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:51pm

Olahraga buka 'gelanggang' esok

KUALA LUMPUR: Olahraga, lubuk untuk mengutip pingat di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan memulakan kempen selama lima hari bermula esok (Selasa) hingga Sabtu dengan menawarkan 45 pingat emas secara keseluruhan - dua daripadanya sudah berlangsung pada hari pembukaan.

Ia menjadikan olahraga adalah sukan tertinggi menawarkan pingat diikuti akuatik renang dengan 38 pingat emas ditawarkan menjadikan 404 pingat yang ditawarkan di temasya dwitahunan KL2017 kali ini.

Sudah pasti ia akan menjadi tumpuan apatah lagi sukan ini dapat disaksikan secara percuma serta berlangsung di stadium keramat - Stadium Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil - yang mampu memuatkan kira-kira 80,000 kapasiti tempat duduk.

Tumpuan pasti terarah kepada jaguh pecut muda negara dalam acara riben biru, 100 meter (m), Khairul Hafiz Jantan yang kian mencipta nama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Atlet berusia 19 tahun dengan gelaran The Speedy Jantan itu adalah pemegang tiga rekod kebangsaan iaitu 100m (10.18s), 200m (20.90s) dan lari berganti-ganti berpasukan 4x100m (39.62s), tetapi anak muda ini adalah muka baharu untuk temasya dwitahunan peringkat Asia Tenggara ini.

Acara balapan di trek baharu Bukit Jalil dijangka hangat dengan kehadiran juara bertahan, Eric Cray (10.25s) dari Filipina yang mahu terus dinobatkan selaku manusia terpantas di rantau Asia Tenggara menggunakan pengalaman yang ada meskipun tidak menyuarakannya secara lantang.

Eric ketika ditemui sewaktu melakukan latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara sedar betapa sengit saingan bakal terjadi merebut mahkota Raja Pecut Asia Tenggara menyebabkan dia tidak berani berjanji mempertahankan pingat emas - atau hanya bermain psikologi - apabila berkata hanya ingin lakukan dan mengharumkan nama Filipina.

Pertembungan epik dijangka mungkin berlaku apabila juara Sukan SEA Myanmar 2013, Jirapong Meenapra (10.48s) turut berada dalam senarai serta dua jaguh Indonesia, Yaspi Boby (perak 2015 - 10.45s) dan Iswadi (gangsa 2015 - 10.45s).

Tidak dilupa rakan kehadiran Khairul Hafiz dan rakan senegara, Jonathan Nyepa yang mempunyai pencapaian musim terbaik dengan kepantasan 10.28s.

Tidak kurang hebatnya perebutan gelaran 200m apabila juara bertahan Veronica Shanti Pereira (23.60s) dari Singapura sudah melaungkan betapa dia ingin mempertahankan emas acara itu di Kuala Lumpur serta memperbaharui catatan terbaik, sekali gus kelibat perlu itu perlu diawasi Olimpian negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Berdasarkan jadual, acara tumpuan ini iaitu pecut lelaki dan wanita bakal bermula pada hari pertama (Selasa-22 Ogos) dijadual bermula kira-kira jam 3 petang serta aksi final pada sebelah malam. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara 100m dan 200m adalah pada Sukan SEA 2001 di Hanoi, Vietnam menerusi Nazmizan Muhammad.

Pencapaian cemerlang dalam acara balapan dan padang secara berterusan menyaksikan Malaysia mampu meraih lebih daripada tiga pingat acara padang temasya Singapura 2015 menerusi Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Olimpian negara, Nauraj Singh Radhawa (lompat tinggi).

Malaysia ketika ini mempunyai atlet yang semakin mencipta nama dan 14 pemegang rekod kebangsaan, masing-masing masih beraksi iaitu diketuai Khairul Hafiz Jantan (100m, 200m, 4x100m), Rayzman Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Nauraj (lompat tinggi), Muhammad Hakimi (lompat kijang), Muhammad Irfan (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi), Adi Alifuddin (lontar peluru), Iskandar Alwi (lompat bergalah) dan Tan Huong Leong (maraton).

Disusuli pelari terpantas wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (100m), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Yap Jeng Tzan (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Yuan Yu Fang.

KL2017 kali ini bakal diserikan dengan kemunculan dua juara dunia dari sukan para iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) yang beraksi bagi memberikan saingan bersama atlet biasa di KL2017 kali ini.

Secara keseluruhan Malaysia meletakkan harapan kepada 36 atlet lelaki dan 27 wanita menjadikan ia seramai 63 atlet bagi membantu negara mencapai matlamat selaku Kita Juara 2017.

Berita Harian X