Selasa, 22 Ogos 2017 | 11:31pm
ZAIDATUL Husniah Zulkifli (kanan) meraikan kejayaannya memenangi tempat kedua dalam acara larian final 100m wanita di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Osman Adnan

Pingat perak hadiah hari jadi

KUALA LUMPUR: Pingat perak yang dimenangi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) malam ini ibarat hadiah ulang tahun kelahiran buat Zaidatul Husniah Zulkifli - 20 Ogos 1993.

Meskipun hanya berada di tempat kedua, Olimpian negara itu tetap berpuas hati dengan pencapaiannya berbanding edisi lalu walaupun matlamat untuk menjadi wanita terpantas di Asia Tenggara tidak kesampaian.

Emas acara ini menjadi milik Le Tu Chinh dari Vietnam (11.56s) manakala Veronica Shanti Pereira dari Singapura (11.76s) meraih gangsa.

"Saya terharu dengan sokongan yang diberikan dan pingat ini adalah untuk rakyat Malaysia.

"Memang hasrat saya untuk menjadi ratu trek terpantas Asia Tenggara tidak kesampaian tetapi sekurang-kurangnya saya memberikan sedikit hasil di Sukan SEA kali ini. Ini adalah hadiah untuk sambutan ulang tahun saya pada 20 Ogos, jurulatih dan juga rakyat Malaysia.

"Walaupun catatan ini tidak menemui pencapaian terbaik, saya bersyukur dengan sokongan diberikan rakyat Malaysia. Ia cukup berharga dan amat bernilai untuk saya," katanya ketika ditemui sejurus menamatkan larian final 100m wanita di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

Untuk rekod, Zaidatul mara ke final selepas menjuarai aksi separuh akhir di sebelah petang dengan catatan 11.61s. Turut mara ke final adalah pemenang emas di Singapura 2015, Tassaporn Wannakit dari Thailand, Shanti; Zion Rose Nelson (Filipina), Chinh (Vietnam), Siti Fatima Mohamad (Malaysia), Le Thi Mong Tuyen (Vietnam) dan Supawan Thipat (Thailand).

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara pecut 100m wanita adalah di Sukan SEA 1997, Jakarta Indonesia menerusi G Shanti.

Zaidatul adalah pelari terpantas negara masa kini apabila mencipta rekod kebangsaan baharu acara 100m dengan catatan 11.45 saat di Kejohanan Olahraga ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 9 Mac lalu.

Catatan atlet berusia 24 tahun itu meleburkan rekod lama, 11.50s milik Shanti yang dicipta di kejohanan pra Sukan SEA pada 1993.

Zaidatul Husniah pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio, Brazil dan mencatat 12.12 saat pada pusingan kelayakan tetapi gagal mengekalkan catatan itu pada aksi saringan pusingan pertama apabila hanya melakukan catatan 12.62s.

Berita Harian X