Rabu, 23 Ogos 2017 | 11:51am
BEKAS 'Raja Pecut' Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yakin Khairul Hafiz mampu rangkul lebih banyak kejayaan. - Foto Aswadi Alias

KL2017: Nazmizan harap Khairul Hafiz tak riak

KUALA LUMPUR: Bekas 'Raja Pecut' Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yakin Khairul Hafiz Jantan mampu 'memecut lebih laju' dan merangkul lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa selepas mengungguli acara riben biru Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), malam tadi.

Nazmizan yang menyaksikan Khairul Hafiz menamatkan penantian 14 tahun emas negara dalam acara 100 meter (m) selepas kali terakhir dia memenanginya di Sukan SEA Vietnam 2003, juga berharap penggantinya itu tidak mendabik dada, sebaliknya terus bekerja keras meningkatkan pecutan.

"Pertama kali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Khairul Hafiz kerana mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam acara riben biru dan menamatkan penantian selama 14 tahun negara.

"Kejayaan di Sukan SEA menjadi batu loncatan untuknya meraih kejayaan lebih tinggi seperti Sukan Asia tahun depan. Dia sudah berada di landasan tepat untuk terus melakar kejayaan," kata Nazmizan yang menamatkan penantian 36 tahun negara merangkul emas 100m selepas kali terakhir dimenangi G Rajalingam pada Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara) di Bangkok 1967.

Nazmizan yang memenangi emas berganda pada temasya itu apabila turut mengungguli acara 200m juga berharap 'The Speedy Jantan' tidak diganggu sehingga tamat saingan KL2017 supaya dia dapat memberikan tumpuan penuh kepada acara balapan disertainya.

Malam tadi, Khairul Hafiz, 19, mengotakan janjinya apabila mengungguli acara pecut itu dengan mencatat 10.38 saat (s), menewaskan pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s) manakala pelari Thailand, Kritsada Nasuwun (10.43) di tempat ketiga.

Kejayaan itu membolehkan pelari berusia 19 tahun itu meletakkan namanya sebaris dengan pemenang emas negara dalam acara tumpuan itu di Sukan SEA, termasuk Tan Sri Dr M Jegathesan (1965), Rajalingam (1967) dan Nazmizan (2003).

Berita Harian X