Rabu, 23 Ogos 2017 | 12:15pm
epa06156276 Khairul Hafiz Jantan (C) of Malaysia celebrates with his coach after winning the men's 100m final at the SEA Games Kuala Lumpur 2017, in Kuala Lumpur, Malaysia, 22 August 2017. EPA/FAZRY ISMAILFAZRY ISMAIL
KHAIRUL Hafiz Jantan mencatat masa 10.38s untuk meraih emas dengan menewaskan Eric Cray dari Filipina dan Kritsada Namsuwun dari Thailand (kiri). - Foto REUTERS

Poad harap anak didik sambar emas berganda

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim berharap anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan mampu meraih pingat emas berganda dengan mengungguli acara 200 meter (m), hari ini.

Mohd Poad berkata, dia berharap kejayaan Khairul Hafiz memenangi acara 100m sekali gus dinobatkan sebagai manusia terpantas Asia Tenggara, malam tadi mampu merangsang anak didiknya itu untuk melakar lebih banyak kejayaan.

"Untuk acara 200m hari ini, saya harap Khairul Hafiz dapat mara ke final, tetapi saya lihat dia mempunyai peluang 50-50 untuk menjadi juara kerana memiliki dua pencabar iaitu dari Thailand dan Filipina.

"Apa pun kita harap dia dapat buat yang terbaik," kata Mohd Poad yang mengesahkan Khairul Hafiz turut akan beraksi dalam acara berpasukan 4x100m.

Acara separuh akhir 200m dijadual berlangsung petang ini, sementara aksi final di sebelah malam.

Pada Sukan SEA Singapura 2015, Le Trong Hinh dari Vietnam merangkul emas selepas melakar catatan 20.89s, dengan perak dimenangi Jaran Sathoengram dari Thailand (21.05s) sementara gangsa milik Jirapong Meenapra (Thailand), 21.13s.

Khairul Hafiz adalah pemegang rekod kebangsaan acara 200m selepas mencatatkan kepantasan 20.90s di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan lalu dan meleburkan rekod lama 20.92s berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Ketika mengulas mengenai larian emas 100m Khairul Hafiz malam tadi, Mohd Poad bersyukur dan berpuas hati dengan larian anak buahnya yang terkenal dengan jolokan 'The Speedy Jantan' itu.

Kejayaan itu menamatkan kemarau 14 tahun negara selepas kali terakhir acara riben biru dimenangi Nazmizan Muhammad di Sukan SEA Vietnam 2003.


KHAIRUL Hafiz adalah pemegang rekod kebangsaan acara 200m selepas mencatatkan kepantasan 20.90s di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia. - Foto EPA

Pelari berusia 19 tahun itu mencatatkan masa 10.38s untuk meraih emas serta menewaskan juara edisi lalu, Eric Cray dari Filipina dengan catatan 10.43s manakala gangsa milik Kritsada Namsuwun dari Thailand yang turut mencatat masa sama.

"Alhamdulillah, Khairul Hafiz berjaya meraih emas, dia membuat larian yang baik. Saya tetap berpuas hati dengan catatan masanya kerana tekanan di Sukan SEA berbeza dan ketika permulaan macam-macam boleh berlaku.

"Saya harap dia akan terus fokus untuk kejohanan lain selepas ini dan tidak dibelenggu dengan populariti," kata Mohd Poad.

Berita Harian X