Khamis, 24 Ogos 2017 | 5:54pm

KL2017: Grace sambung legasi keluarga Wong

AKSI bertenaga Grace Wong Xiu Mei ketika melakukan balingan tukul besi di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
AKSI bertenaga Grace Wong Xiu Mei ketika melakukan balingan tukul besi di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Emas yang dimenangi Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita di lapangan olahraga Sukan SEA 2017, menyambung legasi keluarganya selepas bapa saudaranya, Wong Tee Kui memenangi acara itu pada kali terakhir di Kuala Lumpur 2001.

Atlet berusia 17 tahun itu melakukan catatan 59.64 meter untuk emas, sekali gus memecahkan rekod temasya yang dilakukan Mingkamon Koomphon dari Thailand 56.57m di Singapura dua tahun lalu.

Balingan pertama Grace itu sudah cukup untuk memberikannya kemenangan selesa apabila jauh meninggalkan juara bertahan Mingkamon (56.15m) dan Panwat Gimsrang (54.88m) masing-masing untuk perak dan gangsa.

Bagi Grace, kejayaan itu sudah diduga, malah dia diletakkan dalam senarai atlet yang mampu menyumbangkan emas kepada negara berdasarkan pencapaiannya melakarkan rekod kebangsaan 60.99m ketika di Kejohanan Jeollanamdo, April lalu.

"Saya tidak terkejut sebab memang sudah disasarkan. Apa yang saya nak adalah untuk buat yang terbaik.

"Emas ini cukup bermakna kerana saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini kerana saya bermula dengan lontar peluru," katanya.

Ditanya sama ada bapa saudaranya, Tee Kui berkongsi pengalamannya, Grace berkata antara nasihat yang diberikan adalah untuk tidak berputus asa dan positif dapat melakukan yang terbaik.

Terdahulu Jackie Wong turut menghadiahkan emas dalam acara baling tukul besi.

Dua emas dari baling tukul besi membuktikan betapa jurulatih Gu Yuan adalah jurulatih berwibawa apabila berjaya menukar dua gangsa yang diraih altet negara dua tahun lalu kepada kilauan emas.

Kontinjen olahraga negara dijangka akan menambah lagi kilauan pingat apabila atlet 110m lari berpagar negara Rayzam Syah Wan Sofian turun beraksi esok dan lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa, Sabtu ini.

GRACE Wong catat rekod baharu acara baling tukul besi wanita seterusnya raih pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
GRACE Wong catat rekod baharu acara baling tukul besi wanita seterusnya raih pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X