Jumaat, 25 Ogos 2017 | 8:26pm
ATLET negara, Yuan Yu Fang mengalami kecederaan ketika acara akhir 10,000 meter jalan kaki wanita, dua hari lalu.- Foto BERNAMA

KL2017: Yu Fang tarik diri kerana hamstring

KUALA LUMPUR: Atlet veteran olahraga, Yuan Yu Fang terpaksa menarik diri untuk acara kedua dan terakhirnya di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini disebabkan kecederaan otot.

Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Zainal Abas berkata atlet itu yang sepatutnya membuat penampilan semula selepas 10 tahun tidak beraksi di temasya itu, mengalami kecederaan sejak sebelum acara pertamanya lagi iaitu 10,000 meter jalan kaki wanita, dua hari lalu.

"Kecederaan hamstring... beliau cedera sebelumnya lagi tetapi berkeras untuk menyertai acara jalan kaki (acara pertama)," katanya.

Yu Fang, 41, yang kali terakhir bertanding di temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara di Korat 2007, sepatutnya bertanding dalam acara keduanya hari ini iaitu acara 5,000m.

Acara itu yang berjalan tanpa saingan daripada wakil negara, menyaksikan pelari Vietnam, Nguyen Thi Oanh dan Pham Thi Hue masing-masing memenangi pingat emas dan perak, manakala juara edisi lalu, Triyaningsih daripada Indonesia meraih gangsa.

Yu Fang yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara 10,000m jalan kaki dengan catatan 45:22.05s yang dicipta pada edisi Brunei 1999, adalah atlet jalan kaki negara terakhir memenangi emas, sebelum Elena Goh Ling Yin menamatkan kemarau emas negara pada temasya kali ini.

Beliau juga mencatatkan senarai pencapaian terbanyak dalam Sukan SEA dengan memenangi lima pingat emas iaitu acara 10,000m jalan kaki di Brunei (1999) dan 20km jalan kaki di KL (2001), Vietnam (2003), Manila (2005) dan Korat (2007).

Sementara itu, sukan olahraga KL2017 yang masuk hari kelima turut menyaksikan pingat emas acara rejam lembing lelaki dipertahan juara edisi lalu, Peerachet Jantra daripada Thailand, manakala Abd Hafiz dari Indonesia memenangi perak dan Melvin Calano daripada Filipina (gangsa).

Sementara itu, acara lompat jauh wanita menyaksikan Bui Thi Thu Thao daripada Vietnam meraih pingat emas, Maria Natalia Londa daripada Indonesia (perak) dan Marestella Sunang daripada Filipina (gangsa).

Atlet negara bagi acara rejam lembing lelaki, Mohd Bakri Hamid dan atlet lompat jauh wanita Noor Shahidatun Nadia Zuki serta R Kirthana gagal menyerlah dalam saingan masing-masing.
- BERNAMA

Berita Harian X