Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:56pm
S KOMALAM (dua dari kiri) digugurkan daripada senarai atlet pecut wanita negara kerana masalah disiplin beberapa hari sebelum temasya Sukan SEA 2017. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KL2017: Kuartet 4x100m tempang tanpa Komalam

KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda nyata merencatkan kombinasi kuartet 4x100 meter wanita negara apabila mereka gagal melakarkan keputusan membanggakan dan paling mengecewakan menamatkan saingan di kedudukan terakhir.

Ketika diletakkan harapan sekurang-kurangnya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Sukan SEA Singapura 2015, kuartet dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias dan Fatin Faqihah Mohd Yusof gagal menyerlah.

Mereka tewas kepada barisan pelari Vietnam yang meraih emas dengan catatan 43.88s, diikuti Thailand (44.62s) dan Filipina (44.81s).

Bagi Siti Fatima, dia mengakui tanpa kelibat S Komalam dalam kuartet negara memberi kesan yang cukup mendalam kepada prestasi pasukan hari ini.

"Tanpa Komalam memang mengganggu. Jika diikutkan, kita boleh buat lagi baik. Komalam antara pelari terbaik negara dan lariannya di selekoh mampu untuk membantu negara.

"Naluri saya kuat mengatakan jika dia berada dalam pasukan, kita sekurang-kurangnya akan mampu mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi dua tahun lalu.

"Acara 4x100m ini memerlukan keserasian dan kesefahaman dan tidak boleh dibentuk dalam tempoh sebulan.

"Keputusan menggugurkan Komalam pada saat akhir merencatkan percaturan dan akhirnya memakan diri sendiri," katanya.

Kuartet 4x100m negara berada di landasan tepat rentetan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan iaitu di Terbuka Vietnam dan Kejohanan Trek dan Padang Asia di India, bulan lalu.

Namun kemelut yang melanda menyebabkan percaturan barisan pelari wanita terpaksa ditukar pada saat-saat akhir.

Kata Siti Fatima, terlalu banyak isu berlaku dalam sukan olahraga dan campur tangan orang luar menambahkan lagi kerumitan sehingga mengundang permasalahan lebih besar.

"Apa yang berlaku hari ini diharapkan akan memberi pengajaran kepada semua. Demi masa depan olahraga, setiap keputusan yang diambil perlu difikirkan baik dan buruknya," katanya.

Berita Harian X