Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:22pm
RAYZAM Shah yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara 110M lari berpagar lelaki akhir sempena SUKAN SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

KL2017: Penantian 10 tahun Rayzam berakhir

KUALA LUMPUR: "Emas ini hadiah untuk isteri (Eriyana Idris) dan anak (Rayyana). Selepas 10 tahun saya menanti, akhirnya 2017 menyaksikan saya dapat merangkul kembali emas," kata pelari 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Syah Wan Sofian.

Ia juga adalah kemenangan pertama pelari kelahiran Sabah itu ke atas pencabar utamanya Jamras Rittidet dari Thailand sejak 2007.

Keyakinan cukup tinggi dilaungkan Rayzam yang begitu yakin dia mampu menyumbangkan emas kepada negara sejak berjaya memecahkan rekod kebangsaan 13.67s berusia 23 tahun milik Nurherman Majid di Jerman, Mei lalu.

Rayzam mempamerkan larian meyakinkan pada awal perlumbaan biarpun Jamras memberi tentangan sengit.

Rentak konsisten sejak pagar pertama menyaksikan Rayzam menghadiah emas kepada negara dengan catatan 13.83 saat, diikuti perak milik Jamras (14.10s) dan Clinton Kingsley dari Filipina memungut gangsa (14.15s).


RAYZAM melonjak kegembiraan selepas berjaya meraih pingat emas dalam acara 110M lari berpagar lelaki akhir sempena SUKAN SEA KL2017. - Foto Yazit Razali


ATLET Malaysia, Rayzam Shah (kiri) mencukur rambutnya selepas berjaya memenangi pingat emas bagi acara 110m berpagar pada Sukan SEA Kuala Lumpur KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

"Saya memang cukup yakin dapat menang emas kali ini kerana catatan masa Jamras tidak begitu baik. Tahun ini, Jamras hanya melakukan masa terbaik 14.06s.

"Sejak dari sesi pemanas badan lagi, saya tahu saya boleh menang, cuma apa yang saya bimbang adalah teknik dan akhir saya berjaya merealisasikan impian emas itu," katanya yang mengakui kehadiran jurulatihnya Jan May yang diterbangkan khas dari Jerman turut menjadi pembakar semangatnya memburu emas.

Menegaskan emas di Sukan SEA kali ini bukan yang terakhir dari dirinya, Rayzam berkata dia akan terus mengibarkan cabaran negara pada temasya Sukan Asia dan Komanwel selepas ini.

Berjanji kepada isterinya untuk membotakkan kepala, atlet berusia 29 itu melunaskan janji itu sejurus menamatkan saingan.

Berita Harian X