Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:45pm
NAURAJ (kiri) menang emas manakala Hup Wei pingat perak dalam acara lompat tinggi lelaki akhir pada Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
AKSI Nauraj pada acara lompat tinggi lelaki akhir pada Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
AKSI Hup Wei pada acara lompat tinggi lelaki akhir pada Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

KL2017: Nauraj, Hup Wei terbaik Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei membuktikan mereka adalah jaguh lompat tinggi terbaik rantau Asia Tenggara apabila masing-masing unggul dengan pingat emas dan perak Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kedua-dua atlet ini sudah melepasi percubaan 2.24 meter (m), namun Nauraj dinobatkan selaku juara selepas kiraan semula, sementara pingat perak milik Hup Wei, manakala gangsa dibawa pulang Nguyen Thanh Nhan dari Vietnam dengan catatan 2.18m.

Lebih membanggakan, catatan 2.24m yang dikongsi kedua-dua jaguh negara ini menyamai pencapaian rekod Sukan SEA yang dilakar atlet negara, Loo Kum Zee (2.24m) yang dicipta di Sukan SEA Thailand 1995.

Gelaran selaku juara itu turut menyaksikan Nauraj mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Sukan SEA Singapura 2015 - ketika itu dengan ketinggian 2.13m - menjadikan dia kini memiliki tiga emas temasya sukan Asia Tenggara itu (Myanmar 2013 dan Singapura 2015), menyamai pencapaian Hup Wei (Korat 2007, Laos 2009 dan Palembang 2011).

"Saya gembira dapat menyumbangkan pingat emas buat Malaysia pada hari ini dan saya tidak jangka begitu ramai penyokong yang datang. Saya harus berterima kasih kepada Hup Wei kerana dia yang memberikan saya cabaran dan tekanan untuk saya lakukan lompatan 2.24m.

"Saya harap Hup Wei dapat berlatih bersama kerana apa yang saya lihat di Australia, kami sering memberikan cabaran sesama sendiri. Begitu juga pada hari ini.

"Apa pun saya gembira kerana kami berdua dapat menyumbangkan pingat buat negara hari ini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu rakan senegara, Hup Wei menyifatkan pengorbanannya menggunakan wang sendiri untuk membayar jurulatih, Alex Stewart adalah berbaloi sehingga memenangi perak dan mencapai ketinggian 2.24m.

Pada masa sama, Hup Wei menegaskan KL2017 bukan temasya terakhir buatnya, malah akan meneruskan latihan bersama Stewart sehingga Sukan Komanwel tahun depan.

Berita Harian X