Sabtu, 26 Ogos 2017 | 9:50pm
NAURAJ Raj meraih pingat emas manakala Lee Hup Wei pingat perak dalam acara lompat tinggi lelaki akhir sempena SUKAN SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
RAYZAM Shah yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara 110M lari berpagar lelaki akhir sempena SUKAN SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali
RAJA Nursheena mendapat pingat perak dalam acara 110M lari berpagar wanita akhir sempena SUKAN SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

KL2017: 8-8-9 dari skuad olahraga

KUALA LUMPUR: Malaysia menutup hari terakhir olahraga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki dan Rayzam Shah Wan Sofian selaku jaguh 110m lari berpagar.

Nauraj memenangi emas dengan ketinggian 2.24m, sekali gus mempertahankan gelaran juara yang dimenangi di Sukan SEA Singapura 2015 sementara Rayzam dengan catatan masa 13.83s, menamatkan penantian 10 tahun untuk kembali menjuarai acara itu, selepas kali terakhir dilakukan pada edisi 2007 di Thailand.

Di sebalik dua emas, skuad olahraga negara turut unggul dengan pencapaian pingat perak menerusi Raja Nursheena Raja Azhar dalam acara 100m lari berpagar yang turut memperbaiki pencapaian terbaik - selepas sekadar gangsa di Myanmar 2013.

Pingat perak turut disumbangkan atlet lompat tinggi senior negara, Lee Hup Wei dengan catatan menyamai Nuaraj iaitu 2.24m dan lempar cakera wanita yang Choo Kang Ni yang melakukan rekod kebangsaan baharu dengan balingan (47.91m).

Kang Ni mengatasi catatan lalu 46.84m milik Yap Jeng Tzan.

Turut melakar kejutan dengan perak ialah K Prabudass dalam acara 5,000m dengan catatan masa 14:57.43 dan gangsa terakhir disumbangkan oleh kuartet 4x400 wanita negara.

Sebanyak empat rekod Sukan SEA berjaya dipecahkan manakala tujuh rekod kebangsaan diperbaharui oleh atlet negara sepanjang temasya ini berlangsung.

Secara keseluruhan, skuad olahraga menyumbangkan lapan pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa, sekali gus memperbaharui pencapaian dua tahun lalu dengan hanya tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Berita Harian X