Isnin, 18 September 2017 | 5:57pm
SITI Noor Radiah Ismail meraih emas pertamanya di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) dalam acara final lompat jauh wanita T2O di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Siti Noor Radiah hadiah emas lompat jauh

KUALA LUMPUR: Siti Noor Radiah Ismail gembira menang emas pertamanya di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) selepas melakukan lompatan sejauh 4.99 meter (m) dalam acara final lompat jauh wanita T2O di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Siti Noor Radiah mengubati kekecewaannya yang hanya meraih perak di Sukan SEA Singapura 2015, selepas tewas kepada Oktavia Rica Oktavia dari Indonesia.

Bagaimanapun, Siti Noor Radiah melahirkan sedikit kekecewaan kerana gagal mengatasi rekod peribadi terbaiknya 5.20m yang dilakukan di Sukan Paralimpik Rio 2016.

"Saya yakin mampu boleh buat lebih bagus daripada catatan 4.99 meter jika Oktivia turut bertanding hari ini.

"Bagaimanapun, hari ini saya terpaksa berlawan dengan diri sendiri dan peserta lain yang kurang handal kerana Oktivia tidak menyertai Sukan Para ASEAN 2017 kali ini.

"Apa yang lebih penting saya gembira kerana dapat menghadiahkan sebutir pingat emas kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini," katanya ketika ditemui selepas muncul juara acara lompat jauh wanita T20 itu.


ATLET olahraga Para negara, Siti Noor Radiah Ismail (kanan) dan pemenang pingat perak, Nani Shahiera Zawawi, memperagakan pingat yang dimenangi mereka dalam acara akhir lompat jauh akhir wanita kelas T20 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pingat perak menjadi milik seorang lagi atlet Malaysia, Nani Shahiera Zawawi yang mencatat 4.78m, manakala gangsa milik peserta Indonesia Tiwa dengan catatan 4.66m.

Dalam pada itu, Siti Noor Radiah juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, jurulatih, keluarga dan rakan sepasukan serta rakyat Malaysia kerana banyak memberikan dorongan dan sokongan sehingga mampu meraih emas acara itu.

Sementara itu, jurulatih lompat jauh wanita T20, Mohd Shahrul Amri Mohd Suhaimi, juga gembira kerana Siti Noor Radiah menang pingat emas biarpun baru pulih dari kecederaan buku lali.

Malah, Mohd Shahrul Amri percaya Siti Noor Radiah mungkin dapat melakukan lompatan lebih jauh jika dia tidak mengalami kecederaan itu.

"Saya tetap gembira Radiah menang emas dengan jarak 4.99m kerana sebelum ini dia terpaksa berehat lebih dua minggu akibat kecederaan," katanya.

25 dibaca
Berita Harian X