Isnin, 18 September 2017 | 9:20pm
ATLET Malaysia, Muhamad Nurdin Ibrahim (kiri) meraikan kemenangan diikuti rakan senegara Nasharuddin Mohd, ketika acara separuh akhir 800 meter lelaki kelas T20 Sukan Para Asean KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Olahraga tuai 6 emas hari pertama

KUALA LUMPUR: Enam daripada 24 emas yang dipertandingkan berjaya dituai atlet negara pada hari pertama olahraga Sukan Para ASEAN (Para Kl2017) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini dengan nama-nama besar seperti Siti Noor Radiah Ismail, Hemala Devi Eni Kutty dan Siti Noor Iasah Ariffin menepati ramalan untuk beraksi cemerlang.

Radiah yang meraih gangsa di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu, tidak berdepan masalah untuk menjadi penyumbang emas pertama olahraga dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) selepas melakukan catatan 4.99 meter, manakala perak pula disumbangkan Nani Shahiera Zawawi (4.78m).

Stadium Nasional terus bergemuruh apabila rejaman sejauh 28.86m dalam percubaan keempat berjaya membantu Faridul Masri untuk meraih emas merejam lembing F56 (kecacatan anggota) lelaki.

Sementara itu, penampilan sulung Eddy Bernard di temasya dwitahunan ini memberi tuah kepadanya apabila meraih emas acara 100m T37 (cerebral palsy) dengan melakukan catatan 12.45s untuk mengetepikan rakan senegara, Jacklo Ganding yang meraih perak (12.48s).

Afiq Ali Hanafiah pula memperbaiki pingat gangsa yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura apabila meraih emas acara 100m lelaki T12 (kurang penglihatan) selepas melintasi garisan penamat dengan catatan 11.45s.


PEMENANG pingat emas, Eddy Bernard (kanan), dan pemenang pingat perak, Jacklon Ganding, memperagakan pingat masing masing selepas memenangi acara 100 meter lelaki kelas T37 Sukan Sea Para KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali


PEMENANG pingat emas, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (kanan) dan pemenang pingtat perak, Maswinah Suanang, meraikan kemenangan selepas acara akhir 800 meter wanita kelas T20 Sukan Para Asean KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Olahragawati 2011 dan 2013, Hemala Devi berada pada kelas tersendiri apabila meraih emas acara lempar cakera F12 (kurang penglihatan) selepas melakukan lemparan sejauh 32.46m, manakala seorang lagi atlet negara, Noor Kalsum Fadil meraih gangsa (18.46m)

Siti Noor Iasah pula tidak berdepan masalah ketika beraksi dalam acara 800m wanita T20 (masalah pembelajaran) apabila meraih emas selepas melakukan catatan 2:34.12s, manakala rakan senegara Maswinah Suanang membawa pulang gangsa dengan masa 2:41.24s.

Bagaimanapun, Felicia Mikat gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu apabila sekadar meraih gangsa dalam acara 100m wanita T13 (kurang penglihatan) kerana kecederaan buku lali kiri dua minggu sebelum temasya bermula.

Dalam pada itu, Eryanto Bahtiar meraih perak lompat jauh lelaki T46/47 (kecacatan anggota) dengan melakukan catatan 6.22m, manakala Erwan Mohd Hasnoor hanya berpuas hati dengan pingat gangsa 100m lelaki T38 (cerebral palsy) selepas merakam masa 12.66s.

15 dibaca
Berita Harian X