Selasa, 19 September 2017 | 7:45pm
UMI SYUHADAH IDRIS memperagakan pingat emas yang dimenanginya dalam acara lontar peluru (3KG) wanita F37 pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Emas untuk tunang, keluarga

KUALA LUMPUR: Umi Syuhadah Idris mahu hadiahkan pingat emas yang dimenangi dalam acara lontar peluru (3kg) Sukan Para ASEAN 2017 di Stadium Nasional Bukiit Jalil hari ini, untuk tunang dan keluarga tersayang.

"Mereka banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya selama ini," katanya selepas menang emas dalam acara lontar peluru wanita (3kg).

Umi Syuhadah berkata, beliau berpuas hati kerana bukan hanya menang emas selepas melakukan lontaran sejauh 7.92 meter (m), malah berbangga jarak itu mengatasi catatan peribadi terbaiknya 7.8m sebelum ini.


ATLET Malaysia, Umi Syuhadah Idris ketika beraksi dalam acara lontar peluru (3KG) wanita F37 pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

"Saya bersyukur kepada Allah kerana menang emas walaupun beraksi dalam keadaan hujan lebat. Kejayaan ini membakar semangat saya untuk menang dua lagi pingat emas dalam acara lempar cakera dan merejam lembing apabila turun beraksi petang esok.

"Insya-Allah, saya mampu mencapai sasaran tiga emas di Sukan Para ASEAN 2017, seterusnya layak ke Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Pingat perak dan gangsa pula menjadi milik dua atlet Vietnam, Nguyen Thi Mai dan Ha Thin Hue.

Terdahulu, Umi Syuhadah berkata beliau ingin mendedikasikan emas dimenangi untuk semua pihak terutama ahli keluarga dan tunangnya yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya selama ini.

11 dibaca
Berita Harian X