Rabu, 20 September 2017 | 8:31pm
ATLET olahraga Malaysia, Mohamad Faizal Aideal Suhaimi (tengah) beraksi dalam acara 100m T13, Sukan Para ASEAN KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ATLET olahraga Malaysia, Mohamad Faizal Aideal Suhaimi (tengah) beraksi dalam acara 100m T13, Sukan Para ASEAN KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: 'Nak termuntah atas trek'

KUALA LUMPUR: Faizal Aideal Suhaimi bukan saja gagal mempertahankan emas yang dimenangi pada dua edisi berturut-turut 2014 (Myanmar) dan 2015 (Singapura), malah hampir termuntah di atas trek dalam acara 100 meter lelaki T13 (kurang penglihatan), hari ini.

Penyandang emas Para Asia Incheon itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan masa 11.61 saat, tumpas kepada Lamsan Songwut dari Thailand (11.50s).

"Hari ini saya berasa tidak sedap badan kerana sudah tiga hari mengalami demam. Saya tidak tahu bagaimana kemampuan badan saya ketika hendak memulakan perlumbaan, kerana belum sembuh sepenuhnya.

"Sasaran saya adalah untuk menang emas acara ini tapi hanya sekadar boleh mencuba saja," katanya.

Atlet berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu mengakui hampir termuntah di atas trek ketika separuh perlumbaan, namun berjaya memberi fokus dan cuba sedaya upaya untuk mencari kemenangan.

"Selepas ini, saya akan menyertai acara 200m dan berharap tuah mampu memihak kepada saya untuk menukar warna pingat ini," katanya yang turut mengalami batuk dan selsema.

Walaupun misi meraih emas hatrik gagal dilakukan Faizal di Para ASEAN kali ini, dia masih mempunyai tugas lebih berat tahun depan iaitu untuk mempertahankan emas Para Asia yang diraih di Incheon pada 2014.

"Misi saya selepas ini ialah menyertai dan mempertahankan emas 100m T12 di Para Asia Jakarta-Palembang 2018. Bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki, termasuk menjaga tahap kesihatan, berlatih bersungguh-sungguh dan memperkuatkan mental.

"Saya boleh tengok sendiri bagaimana pelari sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan berlari dan belajar dari dia ketika berlatih. Memang saya jarang berinteraksi dengannya kerana takut mengganggu, tapi saya sempat bertanya petua untuk menjadi pelari terbaik," katanya.

Gangsa acara berkenaan diraih seorang lagi pelari Thailand, Chakkrawan Premruedichaisak yang melakukan catatan 12.02s.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X