Rabu, 20 September 2017 | 8:34pm
ATLET Malaysia, Umi Syuhadah Idris ketika beraksi dalam acara merejam lembing kategori T37, Lontar peluru F37 dan melempat cakera T37 wanita pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Umi Syuhadah tak sangka raih 3 emas

KUALA LUMPUR: Umi Syuhadah Idris, 26, menitiskan air mata kegembiraan selepas memenangi pingat emas ketiganya dalam acara merejam lembing (600gram) F37 di Sukan Para ASEAN 2017, petang tadi.

Umi Syuhadah tidak menyangka beliau mampu menang emas ketiga buat dirinya kerana sudah lama tidak berlatih atau bertanding dalam acara merejam lembing.

Namun, berkat usaha dan semangat jitunya, Umi Syuhadah berjaya meraih pingat emas selepas melakukan rejaman sejauh 18.9m, menyambung usaha emasnya pada sebelah pagi, ketika memastikan emas keduanya menerusi acara lempar cakera dengan catatan 21.19m.

"Saya tidak tahu apa nak cakap sebab terlalu gembira selepas menang tiga emas termasuk dua hari ini (lempar cakera dan merejam lembing) selepas menang satu emas semalam (lontar peluru).

"Saya juga gembira kerana bukan hanya dapat menang emas acara lempar cakera, malah mampu mengatasi catatan terbaik peribadi selepas melakukan lemparan sejauh 21.19m hari ini," katanya ketika ditemui.

Umi Syuhadah juga mahu menghadiahkan ketiga-tiga pingat emas kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan dan dorongan padanya selama ini, termasuk keluarga terdekat, jurulatih, rakan-rakan dan seluruh rakyat Malaysia.

Semalam, Umi Syuhadah menang pingat emas pertamanya dan berjaya mengatasi catatan peribadi terbaik acara lontar peluru (3kg) selepas melakukan lontaran sejauh 7.92 meter (m), berbanding pencapaian terbaiknya 7.8m sebelum ini.

Berita Harian X