Rabu, 20 September 2017 | 9:00pm
S THAVANESVARAN (dua dari kanan) memecut laju untuk memenangi acara 100m T42/43/44 Sukan Para ASEAN KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
S THAVANESVARAN (kanan) meraikan kemenangannya dalam acara 100m T42/43/44 Sukan Para ASEAN KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Thavanesvaran tidak kecewa

KUALA LUMPUR: S Thavanesvaran dilanda perasaan suka bercampur duka apabila menang pingat emas acara 100 meter T42/43/44 dan perak acara 4x100m T42-T47, di Sukan Para ASEAN 2017 di Stadium Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Thavanesvaran berkata beliau tetap gembira kerana dapat menghadiahkan satu emas tetapi sedikit kecewa apabila gagal memastikan satu lagi emas acara 4x100m.

"Biarpun ketinggalan beberapa meter di belakang pada peringkat awal dalam acara 100m, saya tidak cepat panik dan terus meningkatkan kelajuan sehingga sampai ke garisan penamat.

"Saya tidak berasa takut dan sentiasa yakin mampu menang emas dalam acara 100m, katanya ketika ditemui selepas tamat acara itu.

Begitupun, menjadi pelari pengganti pada saat-saat akhir, usaha Thavanesvaran untuk memastikan emas acara 4x400 meter tidak kesampaian.

"Saya hanya mencuba nasib saja kerana menggantikan atlet lain yang kurang sihat. Emas atau perak tidak kisah kerana tiada sasaran pingat.

"Bagaimanapun saya tetap cuba berikan yang terbaik biarpun kali terakhir menyertai acara 4x100m ketika di bangku sekolah menengah dulu," katanya yang dijangka turun beraksi dalam acara 200m T44 pada Jumaat ini.

Semalam, Thavanesvaran menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia selepas muncul juara dalam acara 400m lelaki T44 selepas melakukan catatan masa 56.40 saat.

Berita Harian X