Rabu, 20 September 2017 | 9:31pm
SHAMLI Waidi melakukan renjaman untuk menyumbang emas dalam acara merejam lembing lelaki F36. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Olahraga tambah 8 emas lagi

KUALA LUMPUR: Lapan lagi pingat emas, tujuh perak dan sembilan gangsa dikutip pasukan olahraga para negara memasuki hari ketiga temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Muhammad Ashraf Muhammad Haisham membuka tirai hari ketiga dengan dua kejayaan iaitu memenangi pingat emas acara 1,500 meter (m) T46 (kecacatan anggota) dengan catatan 4:24.73s serta turut memecahkan rekod temasya yang berusia 12 tahun.

Rekod lama acara ini dipegang Isidro Bildosola dari Filipina pada Sukan Para ASEAN Manila pada 2005 (4:27.9).

Pencapaian dilakar pada hari ini mengatasi pencapaian dua tahun lalu di Singapura di mana dia sekadar menamatkan saingan selaku pemenang perak.

Shamli Waidi menjadi penyumbang emas seterusnya dalam acara merejam lembing lelaki F36 (cerebral palsy) dengan balingan sejauh 37.21 meter (m) yang diperoleh pada percubaan keempat.

Bajury Landis yang beraksi dalam lontar peluru lelaki F35 (cerebral palsy) tidak mengecewakan apabila membuktikan dia bukan saingan dengan balingan sejauh 7.51m, menjadikan perbezaan 0.18m berbanding catatan 7.33m milik pemenang pingat perak dari Brunei, Alihan Muda.


SITI Noor Iasah Mohamad Ariffin didukung suaminya, Muhammad Hafiz Abu Bakar selepas mendominasi acara kegemarannya iaitu acara 400m T20 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin terus mendominasi acara kegemarannya iaitu 400 meter T20 (masalah pembelajaran) untuk memenangi emas dengan kepantasan 60.86s.

Isnin lalu, atlet yang beraksi di Sukan Paralimpik Rio 2016 ini turut memenangi emas dalam acara 800m, mencipta kejutan buat dirinya selepas hanya berlatih kira-kira sebulan dalam acara jarak sederhana.

Umi Syuhadah Idris yang beraksi konsisten dalam acara lempar cakera wanita F37 (cerebral palsy) sejak balingan pertama berjaya membutirkan emas di percubaan terakhir dengan balingan sejauh 21.19m.

Atlet dari Johor ini turut memenangi emas dalam acara merejam lembing F37 wanita hari ini, serta turut merangkul emas lontar peluru wanita semalam.

Rejaman emas dengan jarak 18.9m milik Umi pada petang tadi dicipta menerusi percubaan keempat dan lebih menakjubkan, dia sudah mendahului sejak balingan pertama dengan catatan 16.97m, 17.49m, 17.37m, 18.9m, 18.82m dan 17.58m.

S Thavanesvaran yang memecut pantas dalam acara 100m T42/43/44 (kecacatan kaki) di balapan berjaya memenangi emas dengan catatan masa 12.06s dan catatan itu hanya melebihi 0.02 berbanding pencabar dari Indonesia, Rasyidi.

Ahmad Solihim Mohd Noor (kecacatan anggota) turut menguasai acara pecut apabila merangkul emas 100m T45/46 dengan kepantasan 11.58s, meninggalkan dua pencabar dari Vietnam untuk kedudukan perak dan gangsa.

Berita Harian X