Khamis, 21 September 2017 | 8:33pm
ATLET Malaysia, Mohd Hisham Khaironi bersama pingat emas dalam acara merejam lembing F12/F13 pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Malaysia sudah raih 29 emas olahraga

KUALA LUMPUR: Skuad negara terus memperagakan aksi cemerlang selepas menambah enam lagi pingat emas pada hari keempat acara olahraga Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan kontinjen Malaysia mengutip 29 pingat emas keseluruhan selepas sebelum ini mengutip 23 pingat berkenaan sejak acara olahraga membuka gelanggang pada Isnin lalu

Tuaian emas Malaysia hari ini bermula menerusi pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2010, Mohd Hisham Khaironi yang memenangi acara merejam lembing lelaki F12/13 (masalah penglihatan) dengan jarak lontaran sejauh 49.98m.

Juara dunia, yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli mempamerkan aksi memukau setelah melakukan lontaran sejauh 16.81m dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran), sekali gus memperbaharui rekod kejohanan miliknya iaitu 15.69m yang dicatat pada edisi 2014 di Myanmar.

Muhammad Hafiz Abu Bakar terus menceriakan kem negara apabila mempertahankan pingat emas dalam acara lempar cakera F36/37 (Cerebral Palsy) dengan kutipan 387 mata raza.


ADDERIN Majurin berjaya berada ditempat pertama untuk merangkul pingat emas dalam acara melontar peluru kategori F32/33/34 pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Jonathan Wong, yang membuat penampilan sulung pada APG KL 2017, menyumbang emas keempat dalam acara lompat jauh T11/12 (masalah penglihatan) dengan kutipan 929 mata raza sebelum Adderin Majurin meraih emas kelima menerusi kutipan 425 mata raza dalam acara lontar peluru lelaki F32/33/34.

Emas terakhir Malaysia hadir menerusi Doriah Poulus yang memenangi acara merejam lembing wanita F42/44 (kecacatan anggota) selepas mengumpul 760 mata raza.

Indonesia terus mengekalkan penguasaan mereka di tangga teratas walaupun hanya menambah empat pingat emas untuk mengumpul 35 pingat keseluruhan disusuli Thailand yang mengutip 18 emas keseluruhan untuk kekal di tangga ketiga. - BERNAMA

Berita Harian X