Jumaat, 22 September 2017 | 9:04pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memeluk Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (kiri) selepas meraih pingat Emas acara 200m T36 lelaki akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: 7 emas dikutip pada hari terakhir olahraga

KUALA LUMPUR: Dua permata olahraga negara, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menceriakan hari terakhir pasukan olahraga di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Juara dunia ini memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 7.41 meter (m) dan kejayaan itu ditemui seawal percubaan pertama lagi.


ABDUL Latif Romly meriah pingat emas bagi acara lompat jauh T20 lelaki di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Kemenangan di laman sendiri menyaksikan Abdul Latif berjaya menebus kekecewaan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), yang ketika itu dia gagal menyerlah gara-gara diserang cirit birit.

Apa pun atlet dari Perlis ini turut melakar hatrik emas dalam temasya ini selepas turut menjadi juara di dua edisi sebelum ini iaitu Myanmar dan Singapura.

Mohamad Ridzuan atau Dek Wan pula membuktikan dia sangat luar biasa apabila menjadi manusia terpantas mencecah garisan penamat acara 200m T36 (cerebral palsy) dengan kepantasan 26.03s meskipun tidak sihat.


AKSI Abdul Latif Romly pada acara lompat jauh T20 lelaki akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Dua gelaran juara dimenangi atlet ini melengkapkan tujuh kutipan pingat emas yang berjaya dihimpun pasukan olahraga negara hari ini.

Lima lagi emas diraih menerusi Faridul Masri dalam acara lontar peluru F56 dengan balingan sejauh 9.24m.

Doriah Poulus yang beraksi dalam kategori F44 turut membuktikan kehebatan balingan apabila turut memenangi emas selepas melakar balingan 9.46m.

Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah melakar kepantasan 23.56s di hadapan penyokong untuk terus menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam acara 200m lelaki T12 (masalah penglihatan) dengan kepantasan 23.56s.

Merejam lembing lelaki F35 (cerebral palsy) paling cemerlang apabila menyapu bersih kedudukan di podium. Pingat emas dimenangi Mohd Rozi Mat Hasin dengan rejaman berbisa sejauh 27.52m, perak dibawa pulang Sabarudding Bacho (26.75m) sementara Bajury Ladis mendapat gangsa dengan catatan 18.36m.

S Thavanesvaran juga tidak melepaskan peluang menjadi juara apabila dikalungkan pingat emas dalam acara 200m T42/43/44 (kecacatan anggota) dengan kepantasan 24.15s.

Tujuh pingat emas diraih hari ini menyaksikan skuad olahraga negara mencatatkan 36 pingat emas, 27 perak dan 30 gangsa, menjadikan 93 pingat dikutip secara keseluruhan.

Indonesia bergelar juara keseluruhan dalam olahraga apabila menamatkan saingan selama lima hari dengan 85 pingat, iaitu 40 emas, 28 perak dan 17 gangsa.

Kutipan 36 pingat emas pasukan olahraga negara di sini bagaimanapun tidak mencapai sasaran yang diletakkan sebanyak 40 pingat emas, namun skuad negara wajar dipuji kerana berjaya melepasi pencapaian di Stadium Nasional Singapura 2015 iaitu dengan kutipan 53 pingat dengan 27 emas, 18 perak dan lapan gangsa.

Berita Harian X