Sabtu, 18 November 2017 | 11:35pm
KHAIRUL Hafiz akan bekerja keras mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal untuk memberi aksi terbaik pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan. - Foto Osman Adnan

Sukan Komanwel ujian sebenar Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Selepas mendominasi acara 100 meter Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan mengakui Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan adalah ujian sebenar buat dirinya apabila bakal bersaing dengan jaguh-jaguh dunia.

Biarpun dianggap kerdil berbanding negara kuasa besar seperti Jamaica, England dan Afrika Selatan, manusia terpantas Asia Tenggara itu tidak gentar sebaliknya optimis mampu memberi persaingan sengit ke atas semua pencabarnya.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata, dia akan bekerja keras mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal untuk memberi aksi terbaik pada temasya itu nanti.

"Saya sedar cabaran pada Sukan Komanwel nanti memang sukar kerana ia akan disertai oleh jaguh dunia. Sudah pasti mereka lebih laju daripada saya dan saya sendiri tahu siapa yang akan bersaing nanti.

"Saya perlu membuat persiapan terbaik daripada aspek fizikal dan mental bagi memastikan saya mampu memberi persaingan sengit kepada mereka. Ini juga adalah ujian sebenar untuk saya menilai tahap kemampuan saya dan peluang untuk menimba pengalaman," kata Khairul Hafiz yang ditemui ketika hadir menyaksikan Kejohanan Olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2017 di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, hari ini.

Khairul Hafiz berkata, sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel dia akan menjalani latihan di Jerman bermula pada Februari atau Mac bersama jurulatih, Mohd Poad Md Kassim dan kuartet 4x100m negara.

"Berapa lama kami akan berada di sana belum pasti lagi, ia terpulang kepada pihak atasan (Kesatuan Olahraga Malaysia) yang akan menentukan. Apa yang pasti latihan di sana akan menjadi pengalaman berguna untuk kami sebelum ke Sukan Komanwel.

"Saya akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menjalani latihan di Jerman bagi melakukan persiapan," katanya yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 dan 200m.

Berdasarkan catatan masa terbaik Khairul Hafiz yang merakam 10.18 saat dalam acara 100m, ia masih jauh ketinggalan untuk kedudukan podium pada saingan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Pada edisi 2014, atlet Jamaica, Kemar Bailey Cole meraih pingat emas dengan catatan 10.00s diikuti Adam Gemili dari England (10.10s) yang memenangi perak dan Nickel Ashmaede dari Jamaica (10.12s) gangsa.

Berita Harian X