Sabtu, 18 November 2017 | 11:46pm
ABDUL Wafiy Roslan (kiri) meraih tempat pertama 100meter Lelaki Terbuka pada Kejohanan Olahraga 2017 di Stadium Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

Wafiy, Nur Aliyah lakar kejutan

KUALA LUMPUR: Atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Abdul Wafiy Roslan tidak jangka dapat menewaskan atlet kebangsaan untuk mendominasi acara 100 meter lelaki terbuka Kejohanan Olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.

Dia yang mencatat masa 10.69 saat bagi memenangi emas mengetepikan cabaran atlet pecut kebangsaan juga dari SSTMI, Muhamad Haiqal Hanafi yang sekadar meraih perak dengan catatan 10.77s.

Gangsa dimenangi seorang lagi pelari SSTMI, Muhamad Zulfiqar dengan catatan 10.78s, manakala seorang lagi atlet kebangsaan, Badrul Hisyam Abdul Manap (SSTMI) menamatkan saingan di tempat keempat.

"Saya sendiri tidak jangka boleh menang kerana seperti yang kita dapat lihat tadi (final), ada beberapa atlet kebangsaan yang turut beraksi. Lagipun, 100m bukanlah acara sebenar saya kerana saya atlet 400m.

"Saya tidak fikir banyak ketika final, sebaliknya kekal fokus dan hanya mahu memberikan yang terbaik. Syukur kejayaan memihak kepada saya hari ini" kata Wafiy ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, saingan 100m terbuka wanita menyaksikan penguasaan atlet SSTMI, Nur Aliyah Ab Rahman yang memenangi emas dengan catatan 12.40s sekali gus mengatasi atlet kebangsaan, Norris Foo yang menamatkan saingan di tempat kedua (12.51s).

Gangsa pula menjadi milik atlet SSBJ, Azura Ahmad dengan catatan 13.78s.

Berita Harian X