Selasa, 21 November 2017 | 12:09am
PELARI pecut negara, Muhammad Aqil (tengah) bersama ibunya, Hafidah Ghouse (kiri) dan bapa, Yasmin Yahya. - Foto Osman Adnan

Muhammad Aqil lebih yakin menyerlah 2018

KUALA LUMPUR: Membaiki catatan rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) dan 200m menjadi antara sasaran utama pelari pecut, Muhammad Aqil Yasmin pada tahun depan.

Berbaki kurang 45 hari saja lagi sebelum 2017 melabuhkan tirai, atlet Selangor ini sudah mula merancang masa depannya untuk saingan musim baharu.


ATLET pecut (dari kiri); Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Nixson Kenedy, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abd Manap dan Aqil Yasmin pada sesi latihan di pusat squash nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Mana tidaknya pada peringkat awal Muhammad Aqil mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Begitupun, episod kecewa itu bertukar ceria kerana sebaliknya mendapat kepercayaan mewakili Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017 di Taipei, Taiwan, Ogos lalu.

"Secara keseluruhan, tahun ini catatan masa saya masih kekal. Namun saya harap dapat memperbaiki masa larian dalam acara 100m dan 200m menjadi lebih baik pada tahun depan.

"Walaupun pada saat akhir tidak dapat beraksi di KL2017, tetapi saya mendapat peluang besar apabila dihantar ke Sukan Universiti Dunia. Ia pengalaman baharu buat saya," kata pelari kelahiran Klang, Selangor itu ketika dihubungi, hari ini.

Bercakap mengenai Sukan SEA pada 2019, Aqil berkata dia perlu meningkatkan dirinya dengan kepantasan andai kata mahu merebut peluang berlari di Filipina.

Rekod peribadi terbaik Aqil dalam acara pecut 100m adalah 10.48s manakala 200m (21.31s), masing-masing dilakukan pada temasya Sukan Malaysia di Sarawak pada 2016.

20 dibaca
Berita Harian X