Khamis, 30 November 2017 | 7:13pm
KOMALAM harap dia diberi peluang kedua oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memulihkan kariernya selepas digugurkan akibat disiplin pada Sukan SEA 2017, Ogos lalu. - Foto Nstp/Osman Adnan

Komalam berharap kembali diberi peluang

KUALA LUMPUR: Atlet 4x100 meter (m) negara, S Komalam Shally berharap dia akan diberi peluang kedua oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memulihkan kariernya selepas digugurkan akibat disiplin pada Sukan SEA 2017, Ogos lalu.

"Sudah tentu," jawab pelari berusia 29 tahun dari Perak itu sebaik ditanya sama ada dia masih menaruh harapan untuk kembali disenaraikan ke dalam skuad olahraga negara.

"Sekarang ini pun saya masih bekerja keras dan terus menjalani latihan seperti biasa bagi memastikan saya dapat mengekalkan tahap kecergasan diri."

Kontroversi mula menghimpit Komalam hanya 10 hari sebelum Sukan SEA membuka tirainya Ogos lalu apabila dengan tiba-tiba namanya digugurkan daripada skuad olahraga kebangsaan.

Walaupun mengemukakan rayuan sehari selepas itu, tetapi KOM kekal dengan keputusan untuk menggugurkannya.

Difahamkan, keputusan menggugurkan Komalam dibuat kerana atlet berkenaan didakwa tidak menghormati jurulatih.

Ketiadaannya nyata merencatkan rentak larian kuartet 4x100m negara pada Sukan SEA 2017 apabila sekadar menamakan saingan di kedudukan terakhir. Acara berkenaan diungguli Vietnam yang meraih emas diikuti Thailand dan Filipina.

Tanpa Komalam, barisan kejurulatihan negara menggandingkan Shereen Samson Vellabouy, Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nurul Faizah Asma Mazlan dalam accara berkenaan.

"Buat masa ini saya tidak menyertai mana-mana kejohanan dan hanya menunggu senarai atlet 2018 yang akan dikeluarkan KOM," kata Komalam.

Berita Harian X