Jumaat, 22 Disember 2017 | 7:10pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim selepas berjaya memperbaharui rekod baru kebangsaan di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Poad sanggup berkorban demi pastikan Khairul ke Jepun

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim akur sekiranya kekangan bajet menjadi halangan kepada rancangannya untuk membawa Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan berlatih di luar negara.

Walaupun berlatih di luar negara menjadi keperluan buat atlet berusia 19 tahun itu demi meningkatkan mutu lariannya, namun Poad tidak mampu melakukan apa-apa sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak memberi lampu hijau.

Poad bagaimanapun percaya mungkin ada formula terbaik bagi membolehkan anak didiknya yang juga pemenang pingat emas 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berlatih dan mendalami ilmu di luar negara.

"Sebenarnya, saya tidak boleh memberi komen lanjut berhubung masalah bajet dan kami akur mengenainya.

"Tapi saya rasa mungkin ada cara lain yang boleh difikirkan untuk memastikan Khairul boleh berlatih di luar negara. Sebagai contoh, kita hantar Khairul seorang saja dan ia mungkin boleh menjimatkan perbelanjaan serta mengikut bajet yang disediakan," katanya.

Berlatih di luar negara ketika ini dilihat sebagai satu keperluan buat Khairul Hafiz dalam meningkatkan lagi prestasinya dengan Jepun menjadi lokasi terbaik buat atlet kelahiran Melaka itu.

Ini kerana ketika ini negara Matahari Terbit itu sudah berjaya menghasilkan ramai pelari pecut yang berkemampuan serta mampu berlari di bawah 10 saat.

Ditanya siapakah individu terbaik yang akan bersama Khairul Hafiz jika beliau tidak menemaninya, Poad memberikan nama Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan Bahagian Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Jad Adrian Washif.

"Saya sudah berbincang mengenai perkara ini dan Jad adalah individu terbaik. Malah dia sudah memahami sistem latihan saya," katanya.

Berita Harian X