Selasa, 26 Disember 2017 | 6:13pm
JURULATIH olahraga negara, Mohd Poad Md. Kassim kini dilaporkan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor dan dikhabarkan bergelut dengan jangkitan kuman di paru-paru. - Foto Rasul Azli Samad

Anak buah doa Poad cepat sembuh

KUALA LUMPUR: Khabar mengenai keuzuran jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim turut mendapat perhatian anak didiknya yang kini berada di Cameron Highlands, Pahang bagi menjalani proses conditioning.

Mengakui risau akan tahap kesihatan jurulatih itu, Asnawi Hashim, 19, memaklumkan dia dan rakan seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap berusaha untuk kembali ke Johor untuk melihat keadaan Mohd Poad.

Jurulatih itu kini dilaporkan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor dan dikhabarkan bergelut dengan jangkitan kuman di paru-paru.

"Apabila saya tahu jurulatih dimasukkan ke hospital dengan keadaan agak kritikal, saya, Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam cuba untuk pulang sendiri ke Johor.

"Kami harap dia cepat sembuh seperti sedia kala kerana sudah hampir tiga minggu jurulatih tidak dapat bersama menjalani latihan," kata Asnawi yang berlatih bersama Poad sejak berusia 13 tahun.

Atlet olahraga Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu berada di Cameron Highlands sejak Jumaat lalu bagi menjalani program yang dijadual tamat Sabtu ini. Semua atlet dipantau oleh pembantu Mohd Poad selepas jurulatih itu tidak dapat turun akibat masalah kesihatan.

Merujuk kepada status yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook milik Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim serta Instagram, Khairul Hafiz, hari ini, semua atlet itu memohon doa orang ramai agar jurulatih itu cepat sembuh.

"Assalamualaikum mohon doakan jurulatih saya (Poad) dilindungi dan diberi kesembuhan kembali seperti sedia kala ... hari ini doktor nak komakan dia kerana jangkitan kuman di paru-paru semakin merebak ... semoga dengan doa tuan-tuan diterima oleh Allah, amin,".

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Berita Harian X