Selasa, 26 Disember 2017 | 9:00pm
PENGETUA Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar Johor, Suhaimi Sun Abdullah maklumkan Cikgu Poad kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor. - Foto Rasul Azli Samad

Doakan Cikgu Poad

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim yang bertanggungjawab melahirkan generasi baru pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap kini dilaporkan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

Dikhabarkan jurulatih yang usianya kini mencecah 48 tahun bergelut dengan jangkitan kuman di paru-paru dan sudah dua hari berada di hospital berkenaan bagi menjalani rawatan..

"Cikgu Poad sudah dua hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor," kata Pengetua Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Suhaimi Sun Abdullah.

"Dia sedang dirawat dan doktor kini menahan beliau untuk rawatan selanjutnya. Insya-Allah tidak ada apa-apa. Saya doakan agar dia cepat sembuh, dipermudahkan segala urusan kerana banyak lagi cabaran perlu dipikul tahun depan," kata Suhaimi ketika dihubungi, hari ini.

Merujuk kepada posting yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook milik Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim serta Instagram, Khairul Hafiz, hari ini, semua atlet itu memohon doa orang ramai agar jurulatih itu cepat sembuh.

"Assalamualaikum mohon doakan jurulatih saya (Poad) dilindungi dan diberi kesembuhan kembali seperti sedia kala ... hari ini doktor nak koma kan dia kerana jangkitan kuman di paru-paru semakin merebak ... semoga dengan doa tuan-tuan diterima oleh Allah, amin,".

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Open University Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau emas 14 tahun negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38s, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Shauwn Cray yang mencatat 10.43s dan pelari dari Thailand, Kritsada Namsuwun (10.43s).

Tahun ini juga, Poad membantu Khairul Hafiz memecahkan rekod kebangsaan acara 200m berusia 49 tahun di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 pada 18 Julai dengan kepantasan 20.90s. Ia sekali gus meleburkan rekod lama 20.92s milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Selain Khairul Hafiz, atlet yang berada di bawah kendaliannya adalah pelari sensasi negara, Badrul Hisyam yang pernah memecahkan rekod kebangsaan 100m di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei 2015 sebelum rekod itu tidak diiktiraf.

Berita Harian X