Khamis, 28 Disember 2017 | 7:03pm
KETUA jurulatih olahraga negara, Zainal Abbas (depan, kiri) menemui bapa kepada Mohd Poad, Md Kassim Jisa (kanan) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Semangat atlet pecut terganggu - Zainal

JOHOR BAHRU: Semangat dan moral beberapa atlet pecut yang berlatih dengan jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim sedikit terganggu susulan keadaan kesihatan jurulatih itu yang kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abbas, berkata perkara itu tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi hubungan baik antara jurulatih berkenaan dengan atlet di bawah kendaliannya sangat akrab.

"Sudah tentu kesemua atlet beliau ketika ini agak murung, ini kerana mereka juga turut merasai kedukaan lagi-lagi keadaan jurulatih mereka yang sedang kritikal.

"Bagaimanapun, bila saya bercakap dengan Badrul Hisyam (pelari pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap) yang berada di sini, semalam, dia menegaskan latihan tetap akan diteruskan dengan perancangan yang sudah disiapkan 'coach' Poad.

"Semua persediaan itu juga akan dibantu serta dikendalikan jurulatih yang berada di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), tetapi biasalah kalau atlet itu sudah biasa dengan seorang jurulatih memang akan terasa kehilangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Mohd Poad di HSA, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zainal memaklumkan Mohd Poad kini menunjukkan perkembangan yang positif apabila sudah mula sedar daripada koma sejak Selasa lalu.

"Respon sudah ada dari Poad, dari segi pergerakan dia sudah mula sedar tetapi kita harapkan beliau akan mendapat rawatan terbaik untuk pastikan beliau dapat pulih sepenuhnya.

"Dia juga menunjukkan banyak tanda yang positif dan saya kagum melihat semangat 'coach' sendiri. Walaupun dia berada di ICU (Unit Rawatan Rapi), saya dapat lihat Poad sedang berjuang dengan mengerjakan solat (secara baring)," katanya.

Kelmarin, BH melaporkan Mohd Poad yang bertanggungjawab melahirkan generasi baru pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam menjalani rawatan di HSA.

Jurulatih yang usianya kini mencecah 48 tahun bergelut dengan jangkitan kuman di paru-paru dan sudah dua hari berada di hospital berkenaan.

Sebagai rekod, Poad seorang guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau emas 14 tahun negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38s, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Shauwn Cray yang mencatat 10.43s dan pelari dari Thailand, Kritsada Namsuwun (10.43s).

Tahun ini juga, Poad membantu Khairul Hafiz memecahkan rekod kebangsaan acara 200m berusia 49 tahun di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 pada 18 Julai dengan kepantasan 20.90s.

Ia sekali gus meleburkan rekod lama 20.92s milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Selain Khairul Hafiz, atlet yang berada di bawah kendaliannya adalah pelari sensasi negara, Badrul Hisyam yang pernah memecahkan rekod kebangsaan 100 m di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei 2015 sebelum rekod itu tidak diiktiraf.

15 dibaca
Berita Harian X