Isnin, 15 Januari 2018 | 6:57pm
ATLET Malaysia, Zaidatul Husniah masih menanti mengenai status dirinya sama ada terpilih mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia atau tidak. - Foto Osman Adnan

Zaidatul berdebar tunggu keputusan

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli masih menanti penuh debar mengenai status dirinya sama ada terpilih mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia atau tidak.

Dia yang belum pernah merasai bahang dua saingan itu kini hanya menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian jurulatihnya, M Balamurugan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

"Setakat ini saya hanya tumpu pada latihan saja. Saya dan yang lain-lain hanya menunggu keputusan daripada MSN (Majlis Sukan Negara), KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Jadi buat masa sekarang, saya hanya menjalani latihan keras dengan jurulatih. Sekiranya nama saya disenaraikan dalam mana-mana kejohanan termasuk Sukan Komenwel atau Sukan Asia, saya akan pergi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berbaki tiga bulan sebelum tirai Sukan Komenwel disingkap secara rasminya pada 4 April ini, KOM masih belum mengumumkan secara rasmi nama atlet yang bakal memikul cabaran Malaysia di Gold Coast, Australia itu.

Pada mesyuarat badan induk olahraga itu 5 Januari lalu, KOM difahamkan sudah mengenal pasti 18 atlet terbaik kebangsaan yang dipilih berdasarkan merit dengan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mengetuai senarai itu.

Selain Khairul Hafiz, Zaidatul, Rayzam Shah Wan Sofian, Lee Hup Wei, Iskandar Alwi, Jackie Wong dan Nixson Kennedy adalah antara atlet yang berada dalam senarai yang dicadangkan.

Juga tersenarai, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nauraj Singh, Norliyana Kamarudin, Muhammad Hakimi Ismail dan Muhammad Irfan Shamsuddin.

Bagaimanapun, semua calon itu belum dimuktamadkan lagi apabila ia akan disaring sekali lagi oleh MOM bagi menentukan jumlah atlet yang layak.

Zaidatul, 25, yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, mengakui teringin untuk beraksi di salah satu temasya itu.

"Saya tak pernah berlari di kedua-dua temasya itu dan sekiranya terpilih ia adalah penampilan pertama. Apapun, saya tak kisah siapa pun yang terpilih nanti.

"Lagipun, kalau terlalu berharap nanti tak dapat pula, baik saya tumpu pada latihan saja dengan jurulatih menetapkan sasaran untuk memperbaiki rekod peribadi sendiri (11.45 saat).

"Namun, jika terpilih sudah tentu saya akan buat yang terbaik dan mungkin saya mampu memperbaharui catatan peribadi kerana pesaing lain juga hebat yang secara tak langsung meningkatkan motivasi diri," kata pelari berasal dari Pulau Pinang itu yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 atas tiket wildcard.

68 dibaca
Berita Harian X