Ahad, 18 March 2018 | 6:20pm
KHAIRUL Hafiz Jantan (tengah) menjuarai acara 100 meter akhir lelaki pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLLA, hari ini. - FOTO ASYRAF HAMZAH

Khairul Hafizh bukti pecutannya tidak terjejas

KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa berehat kira-kira enam bulan gara-gara kecederaan hamstring, Khairul Hafiz Jantan membuktikan pecutannya tidak terjejas apabila mencatat masa 10.34 saat (s) ketika mengungguli acara 100 meter Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, hari ini.

Masa yang dicatatkan pada penampilannya pertamanya selepas pulih di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil itu  juga menyamai catatan dilakukan ketika sesi saringan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sekali gus mampu menjadi tonik terbaik buat Khairul menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

"Alhamdulillah, hari ini saya dapat merasai kembali perasaan berlari dalam acara 100m selepas kembali pulih daripada kecederaan dihadapi pada Sukan SEA lalu.

Malah, saya gembira kerana dapat kekalkan catatan masa 10.34s seperti dilakukan di saringan Sukan SEA.

"Ini adalah aksi pemanas badan dan saya yakin dapat melakukan yang lebih baik di Sukan Komanwel nanti," kata Khairul yang terkenal dengan julukan 'The Speedy Jantan'.

Pingat perak diraih Muhammad Zulfiqar Ismail dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Johor (SSTMI) dengan mencatat kepantasan 10.46s manakala gangsa milik seorang lagi atlet SSTMI, Muhammad Haiqal Hanafi (10.47s).

Mengulas lanjut, Khairul yang memenangi emas di KL2017 dengan mencatat masa 10.38s berharap mara ke final di Gold Coast.

"Saya juga berharap dapat memperbaharui rekod kebangsaan 10.18s yang dicipta di Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 pada temasya kedua terbesar dunia itu nanti. Jadi, saya akan manfaatkan masa yang tinggal untuk meningkatkan lagi prestasi saya," kata atlet kelahiran Melaka itu.

Temasya Gold Coast akan bermula dari 4 hingga 15 April.

Berita Harian X