Jumaat, 23 March 2018 | 7:42pm
KHAIRUL Hafiz antara atlet kuartet 4x100 meter pada Kejohanan Olahraga All Comers 1 Perak 2018. - FOTO FAIL

Medan uji keserasian kuartet

KUALA LUMPUR: Keserasian ketika pertukaran baton antara pelari kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara bakal diuji di Kejohanan Olahraga All Comers 1 Perak 2018,  di Lumut bermula esok hingga Ahad ini .

Kejohanan yang dijadual berlangsung di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak itu penting buat kuartet ini kerana ia adalah pertandingan terakhir sebelum bertolak ke Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia.

Kuartet ini dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

"Kejohanan Olahraga All Comers ini adalah tempat untuk melihat dari sudut teknikal terutama ketika pertukaran baton.

"Ini kerana ia adalah kejohanan terakhir sebelum beraksi di Gold Coast. Buat masa ini kita masih belum menentukan kedudukan pelari untuk beraksi dalam acara ini di Sukan Komanwel," kata jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim, ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Poad menjelaskan dia tidak menurunkan Khairul Hafiz untuk beraksi dalam acara pecut 100m lelaki kerana khuatir terlalu memberikan tekanan buat pelari berkenaan selain ingin mengelakkan kecederaan hamstring berulang.

Sementara itu, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli masing-masing dijadual beraksi dalam acara pecut 100m lelaki dan wanita di Perak.

Jurulatih mereka, M Balamurugan menyifatkan kedua-dua atlet itu diturunkan dalam acara berkenaan bagi mendapatkan kualiti larian dalam tempoh masa dua minggu sebelum temasya Komanwel.

Skuad olahraga negara yang diwakili seramai 13 atlet kebangsaan dijadual bertolak ke Gold Coast pada 3 April ini.

Berita Harian X