Ahad, 8 April 2018 | 3:01pm
ZAIDATUL ketika beraksi dalam acara 100M wanita peringkat saringan di Cararra Stadium sempena Sukan Komanwel 2018. -Foto YAZIT RAZALI

Zaidatul mara separuh akhir 100m

 

GOLD COAST: Zaidatul Husniah Zulkifli menempah tiket ke separuh akhir acara 100m wanita selepas menduduki tangga ketiga pada saringan kelima pusingan pertama di Stadium Carrara, sebentar tadi.

Kejayaannya itu turut menjadikannya atlet wanita pertama negara mara ke separuh akhir acara pecut Sukan Komanwel selepas G Shanti melakukannya pada temasya 1998 di Kuala Lumpur.

Zaidatul yang berada di lorong ketiga mencatat 11.64s, di belakang pelari Jamaica Natasha Morrison dengan 11.36 s dan Shenel Crook dari Saint Kitts and Nevis, 11.62s.

Biarpun perlumbaan tertangguh seketika akibat 'false start', ia langsung tidak mengganggu konsentrasi Zaidatul untuk mara selepas kali terakhir pelari negara berada di saingan separuh akhir acara pecut pada 20 tahun lalu.

Catatan dilakukannya pada perlumbaan itu ketinggalan 0.03s berbanding catatan terbaik peribadi 11.61s dilakukannya di Kuala Lumpur tahun lalu.

Saringan ketiga separuh akhir acara pecut 100 meter wanita dijadualkan berlangsung pada jam 3.26 petang waktu Malaysia.

Berita Harian X