Selasa, 10 April 2018 | 5:02pm
KHAIRUL Hafiz perlu diberi lebih banyak peluang berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara. - Foto BERNAMA
KHAIRUL Hafiz perlu diberi lebih banyak peluang berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara. - Foto BERNAMA

Bantu Khairul Hafiz atasi fobia

KUALA LUMPUR: Apa yang berlaku ke atas pelari pecut negara di temasya Sukan Komanwel Gold Coast adalah satu pengajaran dan proses pembelajaran berguna buat Khairul Hafiz Jantan memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

 

Gagal mara ke separuh akhir bukan satu kegagalan buat pelari itu yang mula mengenal erti persaingan sebenar di pentas antarabangsa.

 

Justeru, memang wajar permintaan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim yang meminta Khairul Hafiz diberi lebih banyak peluang berlatih dan menyertai pertandingan di luar negara dan tidak hanya terperuk di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) semata-mata.

 

Menyertai lebih banyak pertandingan mampu menjadikan pelari yang dikenali dengan jolokan 'The Speedy Jantan' itu lebih matang menangani situasi yang mendatang seperti 'false start'.

 

"Saya ada berbincang dengan Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan Bahagian Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Jad Adrian Washif berhubung perkara ini.

 

"Memang nampak Khairul Hafiz terganggu selepas 'false start' dan kata Jad dia akan cuba melakukan sesuatu membantu Khairul Hafiz," katanya.

 

Berdasarkan statistik yang dilakukan oleh Jad, keadaan Khairul Hafiz selepas 'false start' pertama amat berbeza dan kurang 40 peratus dari kemampuan sebenar pemenang pingat emas Sukan SEA itu. 

 

Pada aksi saringan itu Khairul Hafiz mencatatkan 10.50s  jauh tersasar dari rekod peribadi yang juga rekod kebangsaan iaitu 10.18 yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 serta catatan masa tahunannya iaitu 10.24s.

 

Khairul Hafiz akan beraksi sekali lagi di Stadium Cararra bersama Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manap dalam acara 4x100m Jumaat ini.

Berita Harian X