Sabtu, 28 April 2018 | 6:32pm
JURULATIH olahraga negara, M Balamurugan berharap atlet di bawah kendaliannya perlu mengekalkan konsisten meskipun baru menamatkan saingan di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini. - Foto OSMAN ADNAN

Balamurugan harap anak didik kekal konsisten

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga negara, M Balamurugan berharap atlet di bawah kendaliannya perlu mengekalkan konsisten meskipun baru menamatkan saingan di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini.

Dua atlet kendaliannya yang menyertai Sukan Komanwel ialah Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara pecut 100 meter (m) wanita dan Jonathan Nyepa (4x100m lelaki).

Husniah mara ke separuh akhir acara 100m wanita manakala Jonathan membantu kuartet 4x100m negara mara ke final.

Selepas temasya kedua terbesar dunia itu, kedua-dua atlet itu dijadual menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dari 11 hingga 13 Mei ini,

"Walaupun sudah beraksi secara maksimum di Sukan Komanwel, tetapi atlet harus kekalkan prestasi mereka," kata Balamurugan ketika dihubungi, hari ini.

Bercakap mengenai Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan, Balamurugan berharap Husniah dapat memecahkan rekod kebangsaan acara 100m wanita.

Rekod kebangsaan acara riben biru itu masih milik G Shanti iaitu 11.50s yang dicipta di PraSukan SEA, Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Selain itu, jurulatih berkenaan turut menaruh harapan Jonathan melayakkan diri ke Sukan Asia dalam acara pecut 100m kerana buat masa ini namanya hanya disenaraikan dalam acara 4x100m.

Berita Harian X