Ahad, 29 April 2018 | 12:02pm
PELARI pecut Kanada, Andre De Grasse melakukan penampilan semula pada saingan Drake Relays di Des Moines awal pagi tadi. - Foto AFP
PELARI pecut Kanada, Andre De Grasse melakukan penampilan semula pada saingan Drake Relays di Des Moines awal pagi tadi. - Foto AFP

Pelari pecut masa depan kembali beraksi

LOS ANGELES: Pelari pecut Kanada, Andre De Grasse menamatkan acara 100 meter di tempat keempat pada saingan Drake Relays di Des Moines, awal pagi tadi selepas melakukan penampilan semula daripada kecederaan yang memaksanya berehat selama sembilan bulan.

De Grasse yang meraih tiga pingat termasuk gangsa dalam acara 100m pada saingan Sukan Olimpik Rio 2016, mencatat masa 10.15 saat dengan tiupan angin 1.9m per saat.

Pelari dari Amerika Syarikat, Isiah Young memenangi perlumbaan itu dengan catatan 10.02s diikuti rakan senegara, Mike Rogers (10.03s) dan pelari Britain, CJ Ujah (10.13s).

De Grasse yang meraih perak dalam acara 200m di Rio, berdepan kecederaan hamstring pada musim panas lalu yang memaksanya menarik diri dari Kejohanan Dunia 2017 di London.

Dia kembali beraksi Sabtu lalu untuk kali pertama sejak memenangi acara 200m dengan catatan 20.03s pada 16 Julai tahun lalu di Rabat.

ANDRE De Grasse (kiri) dilabel pelari pecut masa depan bagi menggantikan legenda pecut, Usain Bolt yang sudah bersara.
ANDRE De Grasse (kiri) dilabel pelari pecut masa depan bagi menggantikan legenda pecut, Usain Bolt yang sudah bersara.

De Grasse yang baru berusia 23 tahun dan dilabel pelari pecut masa depan menggantikan Usain Bolt, kembali menjalani latihan Disember tahun lalu.

Dia menyasarkan untuk kembali beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast awal bulan ini tetapi menolak untuk beraksi sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagi saya, faktor kesihatan lebih utama. Sekarang tiada lagi sebarang halangan untuk saya beraksi di saingan seterusnya," katanya. - AFP

Berita Harian X