Khamis, 3 Mei 2018 | 7:51pm
PELARI muda negara, Haiqal Hanafi bersedia menggalas cabaran selaku 'pengganti' Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut. - Foto RASUL AZLI SAMAD
PELARI muda negara, Haiqal Hanafi bersedia menggalas cabaran selaku 'pengganti' Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut. - Foto RASUL AZLI SAMAD

Haiqal sedia ganti Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Pelari muda negara, Haiqal Hanafi bersedia menggalas cabaran selaku 'pengganti' dan penyambung legasi kejayaan Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut di pentas remaja Asia, bulan depan.

Haiqal, yang memiliki catatan peribadi terbaik 10.47s dilihat antara prospek memastikan Malaysia terus meraih pingat emas acara reben biru pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, Jun ini.

Ketika kejohanan sama di Ho Chi Minh, Vietnam dua tahun lalu, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz memenangi pingat emas dengan masa 10.36s menewaskan Ippei Takeda dari Jepun (10.41s) dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).

"Insya-Allah jika ada rezeki di Jepun nanti, saya akan mempertahankan acara 100m yang dimenangi Khairul Hafiz di Vietnam.

"Apa pun niat saya adalah hendak mencipta catatan masa lebih bagus kerana apa yang saya tahu, ramai pelari muda semakin laju. Tapi jika catatan masa baik, Insya-Allah bonus kemenangan itu milik saya," kata Haiqal, 19, hari ini.

Haiqal turut menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa miliknya di Jepun dalam acara 200m iaitu 21.48s yang dicipta di Terbuka Singapura, baru-baru ini.

Dia berharap dalam tempoh dua tahun dia mampu menjadi sepantas rakan sepasukan, Khairul Hafiz.

Untuk rekod, selain Haiqal yang turut beraksi dalam acara 200m, atlet lain yang beraksi di Jepun adalah Zulfiqar Ismail (100m, 4x100m), Abdul Wafiy Roslan (200m, 4x100m, 4x400m) dan Saiful Safwan Saifuddin (400m, 4x400m).

Turut disenaraikan Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal (4x400m), Ilham Suhaimi (400m, 4x400m) dan Aiedel Saadon (4x100m).

Berita Harian X