Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:30pm
ATLET negara, Aiedel Saadon.

Kuartet remaja negara serasi: Aiedel

KUALA LUMPUR: Atlet negara, Aiedel Saadon percaya keserasian antara pelari kuartet 4x100 meter negara mampu membantu mereka melakar kecemerlangan pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, bulan depan.

Aiedel yang diberi kepercayaan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim untuk beraksi dalam acara lari berganti-ganti berharap mampu bergelar juara sekali gus memenangi pingat emas.

"Saya harap dapat memenangi pingat emas dalam acara 4x100m. Saya yakin kerana kami mempunyai persefahaman yang tinggi.

"Kami juga berlatih di bawah kendalian jurulatih Poad, jadi kelebihan dari segi pertukaran baton mungkin akan berjalan lancar.

"Tapi saya dapat jangkakan Jepun dan Qatar akan memberikan saingan sengit," kata Aiedel, 18, ketika dihubungi, hari ini.

Antara atlet yang disenaraikan beraksi di Jepun adalah Haiqal Hanafi dalam acara 100m dan 200m, Zulfiqar Ismail (100m, 4x100m), Abdul Wafiy Roslan (200m, 4x100m, 4x400m) dan Saiful Safwan Saifuddin (400m, 4x400m).

Turut disenaraikan Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal (4x400m) dan Ilham Suhaimi (400m, 4x400m).

Mengulas lanjut, cucu saudara kepada bekas raja pecut Asia, Datuk Rabuan Pit berkata, dia ingin mewarisi kehebatan datuk saudaranya selepas ini.

"Saya ingin ikuti jejak datuk iaitu mara ke final Sukan Asia pada masa depan," kata Aiedel, penuntut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Catatan terbaik peribadi Aiedel dalam acara 100m adalah 10.58s dicipta pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang, tahun lalu.

16 dibaca
Berita Harian X