Ahad, 6 Mei 2018 | 9:02pm
SHEREEN Samson Vellabouy meraih pingat gangsa dalam acara 400m wanita di Kejohanan Balapan dan Padang Thailand, hari ini. - Foto Osman Adnan

Gangsa buat Shereen di Thailand

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vellabouy meraih pingat gangsa dalam acara 400 meter (m) wanita di Kejohanan Balapan dan Padang Thailand yang berlangsung di Bangkok, hari ini.

Shereen mencatatkan kepantasan 55.70 saat (s) pada aksi final.

Pingat emas acara ini menjadi milik Nadeesha Ramanayaka dari Sri Lanka dengan kepantasan 53.94s sementara perak dibawa pulang atlet Vietnam, Thi Hang Nguyen (54.64s).

Perkara itu disahkan ketua jurulatih negara, Zainal Abas.

Pencapaian terbaik Shereen musim ini adalah 54.79s yang dilakar di Kejohanan Olahraga Perak All Comers 2018 di Lumut, Mac lalu.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Shereen antara watak yang membantu kuartet 4x400m gandingan Fatin Faqihah Mohd Yusof, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Tanalaksiumy Maher Rayan untuk meraih gangsa dengan catatan 3:43.31s.

Berita Harian X