Rabu, 9 Mei 2018 | 2:04pm
ATLET olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian. - Foto Yazit Razali

Rayzam tidak tertekan

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian tidak mahu meletakkan dirinya dalam tekanan menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Rayzam berkata dia hanya ingin menikmati larian serta saingan selain tidak mahu dirinya dibelenggu kecederaan.

"Saya hanya ingin menikmati larian, jadi tidak meletakkan apa-apa sasaran. Tidak ada tekanan buat saya di Terbuka Malaysia.

"Tetapi saya harap dapat berlari di bawah catatan masa 14 saat," kata pemenang pingat emas 110 meter (m) lari berpagar di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu ketika dihubungi.

Aksi final acara 100m lari berpagar lelaki di Terbuka Malaysia dijadual berlangsung pada sebelah malam, Sabtu ini.

Meskipun Terbuka Malaysia kejohanan ketiga disertai tahun ini selepas temasya Sukan Komanwel, Gold Coast, Rayzam mengakui dia masih gagal menemui keyakinan.

Jadi Rayzam berharap dapat menemui rentak itu ketika menyertai latihan dan pertandingan di Jerman bermula minggu depan yang dijangka tamat pada Julai nanti.

Pencapaian terbaik Rayzam musim ini adalah 14.01s yang dicipta dalam kejohanan Pra-Sukan Asia di Indonesia, Februari lalu.

Catatan terbaik peribadi Rayzam pula adalah 13.67s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Gala Kurpfalz di Weinheim, Jerman pada 27 Mei 2017, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan milik Nur Herman Majid,13.73s.

Berita Harian X