Rabu, 9 Mei 2018 | 3:05pm
ROSLINDA Samsu (kanan) ketika mengendali sesi latihan skuad olahraga Sekolah Sukan Pahang. - Foto Muhammad Naqib

Roslinda mahu atlet lompat bergalah terus diberi peluang

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat bergalah, Roslinda Samsu berharap tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan dua atlet lompat bergalah negara - Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian - di temasya Sulam Komanwel lalu.

Pemegang rekod kebangsaan dengan ketinggian 4.40 meter (m) Roslinda berkata, kedua-dua atlet negara berkenaan tidak harus dikritik kerana bukan mudah buat mereka beraksi di temasya besar jika tidak diberi peluang.

Katanya, senario lompat bergalah di Malaysia berbeza jika mahu dibandingkan dengan sukan olahraga yang lain seperti acara pecut.

Menurutnya, acara itu bukan sukan yang popular dan diberi perhatian oleh sekolah-sekolah.

Justeru Roslinda yang kini bergelar guru Sekolah Sukan Pahang berkata, jika mereka tidak diberi peluang untuk ke temasya besar memang atlet lompat bergalah negara akan terus ketinggalan.

"Jangan cepat mengkritik. Penampilan Yu Tian dan Iskandar satu permulaan yang baik. Jika tidak selalu bertanding di peringkat besar memang sukar untuk mereka menyesuaikan diri.

"Perlu diingat suasana bertanding di temasya seperti Sukan Komanwel dan Asia sangat berbeza, ia tak sama dengan pertandingan tempatan.

"Komanwel contohnya, jurugambar, jurufoto semua berada di depan anda. Di situ juga boleh menimbulkan gangguan.

"Jika tidak biasa dengan pertandingan kompetitif macam mana mereka nak menanganinya," katanya.

Roslinda amat berharap, Yu Tian akan meneruskan legasinya dalam acara lompat bergalah dan akan disenaraikan untuk ke Sukan Asia, Ogos ini.

Beliau yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA empat tahun berturut-turut - Sukan SEA Manila (2005), Korat (2007), Laos (2009) dan Palembang (2011) - berkata, untuk berjaya dalam sukan itu, kekuatan psikologi perlu diutamakan.

"Ia perlu digabungkan dengan fizikal, teknik dan taktikal barulah seseorang atlet itu akan berjaya," katanya.

Berita Harian X