Khamis, 10 Mei 2018 | 3:16pm
KHAIRUL Hafiz Jantan. - Foto Owee Ah Chun

'The Speedy Jantan' tekad gegar Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas gagal memperagakan larian bertenaga di Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan bertekad menebusnya dengan menggegar Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. 

Menurut pelari berusia 20 tahun itu, walaupun gagal menyerlah di Gold Coast, temasya kedua terbesar dunia itu memberi pengalaman yang cukup bermakna kepada dirinya dan menjadikan dia lebih matang dalam mengharungi cabaran dalam kejohanan lebih kompetitif.  

"Komanwel memberi satu pengalaman berharga terutama dapat beraksi bersama jaguh dunia seperti pelari sensasi Jamaica, Yohan Blake.  

"Biarpun tidak berpuas hati dalam acara 100 meter (m) tapi sekurang-kurangnya mara ke peringkat akhir 4x100m memberi satu kepuasan.  

"Saya harap dapat terus mempamerkan larian konsisten di Terbuka Malaysia nanti," katanya hari ini.

Bercakap lanjut mengenai harapannya di Terbuka Malaysia, pelari yang terkenal dengan julukan 'The Speedy Jantan' itu bertekad untuk memperbaiki catatan terbaik tahun ini 10.34s dalam acara 100m.

Khairul mencatat masa 10.50s di Sukan Komanwel ketika acara saringan dan catatan masa terbaiknya musim ini adalah 10.34s ketika mengungguli acara 100 meter Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, Mac lalu.  

Sementara itu, jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim turut mengakui bahawa anak didiknya itu kini semakin matang dengan dia dilihat mampu untuk memperbaiki masa 10.34s itu.  

Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak menyasarkan sasaran seperti memenangi pingat emas, sebaliknya mahu kesemua pelari di bawah didiknya mampu untuk mencatatkan masa terbaik peribadi masing-masing.

Berita Harian X